Buletin

MBS2026: ARIIC GOBI 250 DILANCARKAN – JANA 16.5KW, TORK 23.5NM, HARGA MULA RM13K

Selain memperkenalkan model Touch, ARIIC turut melancarkan sebuah lagi skuter baharu menerusi model Gobi sempena Malaysia Bike Show 2026.

Diletakkan dalam segmen skuter adventure touring, ARIIC Gobi hadir dengan rekaan lebih lasak dan agresif, lengkap dengan pelindung angin tinggi serta posisi tunggangan yang direka untuk keselesaan perjalanan jauh.

Model ini menggunakan enjin satu silinder 249cc, empat lejang dengan sistem penyejukan cecair yang menghasilkan kuasa maksimum 16.5kW pada 8,000rpm dan tork 23.5Nm pada 5,000 rpm.

Antara perbezaan utama berbanding model Touch ialah penggunaan fork jenis upside-down (USD) di bahagian hadapan yang memberi karakter tunggangan lebih sporty dan stabil. Suspensi belakang pula menggunakan penyerap hentak berkembar.

Untuk sistem brek, Gobi menggunakan cakera tunggal depan dan belakang bersama ABS dua saluran sebagai ciri standard. Model ini juga dilengkapi sistem kawalan cengkaman (TCS).

Dari segi kelengkapan, ARIIC Gobi hadir dengan paparan meter TFT digital, sistem keyless, port pengecas USB Type-A dan Type-C serta lampu LED penuh.

Turut menjadi tarikan ialah kehadiran dashcam hadapan terbina dalam dan cermin penghadang angin dua tahap yang boleh dilaras secara manual, menjadikannya lebih praktikal untuk tunggangan touring.

Selain itu, model ini menawarkan ruang simpanan bawah tempat duduk yang luas selain tangki bahan api berkapasiti 12.5 liter.

Dengan ketinggian tempat duduk 780mm serta jarak kelegaan bumi 120mm, ARIIC Gobi dilihat sesuai untuk penunggang yang mahukan skuter bergaya adventure dengan keselesaan penggunaan harian.

ARIIC Gobi ditawarkan pada harga RM13,988 dan hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Carbon Black, Velocity Grey dan Mystic Purple.

GALERI:

Google ads
Back to top button