
PERMINTAAN TERLALU TINGGI, TOYOTA HENTI TEMPAHAN LAND CRUISER 70 DI AUSTRALIA
Biarpun sudah terlalu lama berada di pasaran, percaya atau tidak Toyota Land Cruiser 70 masih lagi mendapat sambutan yang cukup menggalakkan, terutama di Australia.
Disebabkan popularitinya itu juga, Toyota terpaksa menutup sementara tempahan bagi memastikan tempahan sedia ada mampu dipenuhi, menurut laporan CarExpert.
“Bekalan yang sedia ada kini terkesan dengan ganggunan yang sedang dialami oleh industri automotif global.
“Dalam masa yang sama, populariti model Land Cruiser 70 di kalangan pelanggan Australia kekal di tahap tertinggi dalam sejarah,” ujar Toyota dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, naib presiden jualan, pemasaran dan operasi francais Toyota Australia Sean Hanley berkata, “pasukan Toyota sedang bekerja keras untuk mengedarkan sejumlah besar kenderaan dengan sokongan luar biasa daripada syarikat induk kami.
“Dalam masa yang sama, permintaan yang tinggi serta gangguan bekalan di dalam industri secara meluas menyebabkan kami tidak mampu memenuhi permintaan dengan lebih cepat.
“Kami memutuskan untuk menghentikan sementara tempahan baharu untuk Land Cruiser 70 Series, dan pengedar akan menghubungi pelanggan berhubung tempoh menunggu bagi tempahan individu dalam masa terdekat,” ujarnya. – CarExpert








