Buletin

TUNDRA 2022 – TOYOTA KAJI TUNDRA GENERASI KEDUA DENGAN JARAK PERBATUAN 1.6 JUTA KM!

Toyota Tundra merupakan sebuah model trak pikap saiz penuh yang dihasilkan untuk pasaran Amerika Syarikat, di mana ia bertindak sebagai pesaing kepada model paling popular F-150.

Disebabkan generasi kedua yang memiliki tempoh produksi yang amat panjang (2007-2021), ini membolehkan Toyota mengkaji dengan lebih mendalam bagaimana cara untuk menghasilkan sebuah trak pikap yang lebih berkeupayaan, seperti yang diperlihatkan oleh Tundra generasi baharu.

Untuk itu, Toyota menggunakan bukan satu, tapi dua unit trak pikap Tundra daripada model tahun 2007 di mana kedua-dua model itu telah mencatatkan jarak perbatuan melebih satu juta batu (1,609,000 km)!

Menurut ketua jurutera Toyota, Mike Sweers, ketika menerima unit Tundra 2007 itu, mereka mendapati dua perkara yang sudah tidak berfungsi dengan baik adalah penghadang cahaya matahari sebelah pemandu dan odometer yang mencapai had 999,999 batu.

Selain daripada itu, kerangka tempat duduk masih lagi kukuh dan hanya menunjukkan kesan pakai lusuh yang minimum.

Namun, kesan yang lebih ketara sebenarnya boleh didapati pada bahagian bed belakang, membuatkan pasukan Sweers membina struktur bed yang lebih tahan lasak untuk model Tundra 2022 menggunakan bahan komposit yang lebih ringan, kukuh dan tidak cenderung untuk terkakis.

Beliau turut menguji sendiri ketahanan struktur itu dengan meletakkan bongkah batu, batuan gunung berapi, serta meletakkan enjin V8 di mana bahagian tersebut mampu bertahan tanpa meninggalkan kesan lekuk.

Selain itu, kerangka ladder-frame Tundra baharu menggunakan rekaan baharu yang lebih linear di mana ia mampu memberikan sokongan yang lebih meluas dan pengagihan berat yang lebih baik. – Motor1

Google ads
Back to top button