KIA FORTE GT 2022, 1.6L TURBO 200HP 6 KELAJUAN MANUAL!
Di negara kita Kia Forte adalah produk bertuah buat Kia selepas Sportage generasi pertama. Forte dilancarkan di pasaran tempatan pada tahun 2011 dan sama seperti di peringkat global menerima sambutan menggalakkan.
Walaupun sudah berusia, Forte generasi pertama masih kelihatan segak dan menarik.
Di pasaran global Forte kini berada dalam generasi ketiga (BD) dan mula dikeluarkan sejak tahun 2018. Beberapa tahun di pasaran, Kia memperkemaskan semula Forte pada tahun 2020 dan nampak seperti model baharu sepenuhnya.
Jangka hayat Forte generasi ketiga nampaknya masih panjang apabila Kia America memperkenalkan model 2022. Sekali lagi para pereka Kia berjaya menonjolkan gayaan yang kemas dan kontemporari.
Untuk model 2022, Forte EX digugurkan di Amerika Syarikat dan varian baharu Forte GT-Line diperkenalkan dan tambahan kepada Forte FE, LXS dan GT.
Kepada yang gemarkan varian prestasi Kia Forte GT dibekalkan enjin 1.6L turbo GDI I-4 berkuasa 201 hp dan tork 264.4 Nm.
Enjin itu dipadan bersama transmisi tujuh kelajuan DCT atau enam kelajuan manual! Turut dilengkapi ialah ekzos berkembar talaan sport.
Tiga lagi varian iaitu Forte FE, LXS dan GT-Line menggunakan enjin 2.0 liter MPI I-4 berkuasa 147 hp dan tork 179 Nm.
Enjin itu dipadan dengan transmisi IVT (Intelligent Continuously Variable Transmission).
Dari segi luaran, Forte GT tampil dengan lampu depan yang lebih sleek dan bergaya selain dari identiti penting hidung harimau yang berevolusi sejak generasi pertama.
Bampar depan dan belakang Forte GT direka kemas dan ekspresif dan bersama gril diserikan dengan riasan merah.
Lampu kabus LED pula disusun menarik dan disatukan bersama gril kemasukan udara. Juga menarik ialah lampu belakang kombinasi LED yang tampil sporti.
Pada bahagian dalam, Forte GT dilengkapi skrin sentuh berukuran 10.25 inci dan kluster LCD TFT berwarna saiz 4.2 inci. Fungsi Smart Key pula didatangkan dengan penghidup enjin kawalan jauh.
Dari segi keselamatan Forte 2022 didatangkan dengan enam teknologi ADAS (Advanced Driver Assistance Systems) iaitu Lane Following Assist (LFA), Driver Attention Warning (DAW), Forward Collision Warning (FCW), Lane Departure Warning (LDW) dan Lane Keep Assist (LKA).
Enam fungsi tersebut hanya sebahagian dari 15 keseluruhan sistem ADAS yang ditawarkan Kia untuk Forte 2022.
Dengan pengenalan ini bagaimana pula Forte atau Cerato di negara kita? Kita tunggu perkembangan selanjutnya dari pengedar tempatan.
BACA: KIA PROCEED GT – WAGON UNTUK PAPA YANG JIWANYA KELAJUAN
BACA: 1,500 UNIT KIA EV6 FIRST EDITION HABIS DITEMPAH DALAM MASA SEHARI