MODENAS DIJANGKA PERKENAL NINJA 250 PADA SUKU PERTAMA 2022
Sewaktu sesi tunggang uji Modenas Pulsar NS200 di Shah Alam pagi tadi, media sempat bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan dan bertanyakan perkembangan terkini syarikat motosikal nasional tersebut.
Perkembangan menarik yang dikongsi oleh Roslan ialah pihaknya kini sedang dalam usaha untuk menjenamakan semula beberopa produk Kawasaki kepada Modenas bermula tahun depan. Antara model yang sudah dipastikan ialah Modenas Ninja 250 SE ABS.
Jentera berkenaan pernah dipamerkan kepada umum di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di Damansara, pada Februari tahun lalu. Menjadi sportbike pertama Modenas dilengkapi enjin 250cc yang mematuhi piawaian Euro4 dan sistem brek ABS, motosikal itu dijangka dipasarkan pada suku pertama (Q1) tahun 2022.
Roslan turut mengesahkan seorang wakil daripada Kawasaki Heavy Industri (KHI) akan dilantik sebagai Ketua Pegawai Pemasaran (CMO) bagi melancarkan lagi kerjasama di antara Kawasaki dan Modenas.
Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, motosikal jenama Kawasaki tidak lagi diuruskan oleh KMSB Sdn. Bhd. Sebaliknya, tugas tersebut telah diambil alih oleh anak syarikat Modenas iaitu Edaran Modenas Sdn. Bhd.
Biarpun begitu, pelanggan Kawasaki tidak perlu bimbang tentang khidmat selepas jualan atau perolehan alat ganti. Ini kerana mereka masih boleh mendapatkan stok daripada pengedar Kawasaki sebelum ini. Transisi di antara kedua-dua buah syarikat berkenaan dilapor akan mengambil masa selama enam bulan dan dilaksakan dengan teratur dan lancar.
- BACA: MODENAS NINJA 250 SE. SPORTBIKE PERTAMA MODENAS. ABS, ENJIN EURO4
- BACA: MOTOSIKAL JURURAWAT KENA CURI, KAWASAKI GANTI DENGAN NINJA 400, EKZOS AKRAPOVIC
- BACA: MODENAS PULSAR RS200 & DOMINAR D400 TURUN HARGA. PULSAR RS200 KINI CUMA RM9,990 SAHAJA
- BACA: MODENAS BAKAL TAWAR 8 MODEL BAHARU TAHUN 2020. ADA KAPCAI, SKUTER DAN STREET BIKE