MODEL KIA MANA PALING LAKU PADA 2020? SPORTAGE!
Seperti yang diketahui umum, keadaan ekonomi 2020 tidak memberangsangkan susulan pandemik Covid-19 namun ada perniagaan yang membuat keuntungan luar biasa seperti pembekal sarung tangan getah.
Selain itu, kedua-dua pengeluar kereta nasional Proton dan Perodua mencatatkan jualan lebih tinggi berbanding tahun 2019.
Ini suatu yang menarik jika penutupan kilang dan tempoh perintah kawalan pergerakan diambil kira.
Selain itu Proton juga mengembangkan perniagaannnya ke negara luar seperti Kenya, Mesir dan Pakistan.
Bagaimana pula dengan pengeluar lain? Kia Motors Corporation mencatatkan jualan global sebanyak 2.61 juta unit pada tahun 2020.
Jumlah itu memang tinggi tetapi sebenarnya menurun sebanyak 5.9 peratus berbanding tahun 2019.
Walaupun begitu masih ada yang positif apabila jualan di Korea meningkat sebanyak 6.2 peratus berbanding tahun 2019 kepada 552,400 unit.
Jualan di luar negara pula menurun sebanyak 8.7 peratus kepada 2.05 juta unit.
Pada bulan Disember, jualan Kia menurun 3.8 peratus atau 38,857 unit kepada 218,256 unit.
Di Korea, jualan menurun kepada 38,857 unit atau 20.9 peratus penurunan akibat dari gangguan pengeluaran di tempat kilang produksi. Pada masa yang sama, jualan di luar Korea meningkat satu peratus kepada 179,399 unit.
Tahukah anda model mana paling laris?
Seperti yang dinyatakan di atas, Sportage adalah model Kia paling laris dengan jualan sebanyak 366,929 unit pada tahun 2020.
Seperkara menarik tentang Sportage ialah model generasi keempat ini dilancarkan pada tahun 2015 dan masih berjaya menambat hati ramai pembeli.
Di tempat kedua baru model baharu berjaya menyaingi dengan Seltos terjual sebanyak 328,128 unit.
Berada di kedudukan ketiga terlaris ialah K3 sedan dengan jualan sebanyak 237,688 unit.
Ternyata di sini SUV mempunyai peminat yang ramai dengan kedua-kedua Sportage dan Seltos dijual melebihi angka 300,000 unit.
Berkenaan perancangan masa depan, Kia sedang bersiap untuk program transformasi jenama pada tahun ini yang dibuat berdasarkan strategi perniagaan Plan S.
Sasaran jualan global Kia ialah sebanyak 2.92 juta unit dengan 535,000 di Korea dan 2.39 juta unit dari pasaran luar.
Kia juga mahu mengukuhkan keuntungan melalui operasi fleksibel yang dibangunkan khas di setiap kawasan jualan.
BACA: KIA SORENTO PHEV TORK 350 NM! (TORK ITU PENTING)
BACA: KIA K5 UNTUK AS, MENGANCAM TAK? ADA ENJIN TURBO DAN AWD