KISAH MITSUBISHI EVO FQ400 MEMBULI MURCIELAGO
Mitsubishi Lancer Evolution, satu tanda nama yang cukup popular dan tak perlu diperkenalkan lagi. Bermula dengan siri Mitsubishi Evolution 1 pada tahun 1992 sehingga model Evolusi 10 tamat pengeluaran pada tahun 2016, ia merupakan model yang sangat ikonik pada era zaman keemasan sukan permotoran, perlumbaan litar, perlumbaan rali.
Bermula sebagai kereta sedan kompak pada tahun 1973 dengan 100hp yang disasarkan untuk kegunaan keluarga, Mitsubishi Evolution berkembang menjadi ikon sukan selepas menelan berbotol-botol hormon testosteron.
Dengan enjin 4G63 sebesar 2000cc, enjin model generasi pertama mampu menghasilkan kuasa maksima 242 Hp sebelum disalurkan pada kotak gear 5 kelajuan.
Dan paling istimewa ialah model ini adalah model pacuan 4 roda, mempunyai kelebihan cengkaman yang lebih baik berbanding pacuan dua roda pacuan hadapan atau pacuan belakang.
Mitsubishi bergandingan dengan Orang Finland Terbang (The Flying Fin) dan menjuarai World Rally Championship empat tahun berturut – turut dari tahun 1996, 1997, 1998 dan juga 1999.
Model ini juga turut menjadi bintang filem di dalam filem Jackie Chan, menjadi watak antigonis dalam siri anime Initial D, menjadi bintang wajib dalam siri Fast and Furious, dan tidak ketinggalan pihak Polis DiRaja Malaysia turut memiliki beberapa buah model ini dalam skuad Helang Lebuhraya mereka.
Oleh kerana ia diasaskan dari model sedan Lancer empat pintu, ia sangat praktikal dan mampu memuatkan sehingga 5 penumpang. Ia adalah sebuah kereta sedan yang membolehkan tuan kereta membawa anak ke sekolah, membawa mertua ke hospital, membawa bini ke pasaraya untuk membeli barang keperluan dan boleh diletakkan di ruang boot belakang dan pada hujung minggu, tuan kereta boleh bergembira di trek perlumbaan atau bersantai bersama kelab kereta jika diizinkan oleh isteri.
Sekiranya tidak beraksi di trek, anak-anak boleh menjemur kasut sekolah di atas GT wing di belakang kereta
Sangat praktikal dan berguna kan?
Untuk pasaran Jepun, semua pengeluar kereta mempunyai “gentleman agreement”, iaitu semua kereta prestasi tinggi tidak akan mempunyai lebih daripada 280 Hp, walaupun anda mempunyai enjin yang cukup berkuasa untuk membekalkan tenaga elektrik menerangi sebuah bandar kecil.
Mitsubishi Lancer Evolution turut tertakluk pada penjanjian tidak bertulis ini sehinggalah mereka melancarkan varian Mitsubishi Evolution 8 FQ 400. Walaubagaimanapun, model ini hanya dibuat dan dijual di pasaran United Kingdom sahaja.
Varian ini dihasilkan oleh Mitsubishi Motor, dibawah Division Permotoran bersama sama dengan Specialist Tuner Rampage, Owen Developments and Flow Race Engines.
Kereta edisi khas ini hanya dihasilkan sebanyak 100 unit sahaja bersama sama dengan tiga tahun jaminan pengeluar sempena menyambut ulangtahun ke 30 Mitsubishi di United Kingdom.
Kuasa yang dihasilkan cukup menggerunkan pemilik supercar pada waktu itu, 405 Hp pada 6800 RPM dan 481Nm tork pada 5000RPm. Kuasa 400hp inilah menyebabkan variant ini dinamakan FQ 400. Perkataan FQ pula membawa maksud “F*cking Quick”, dan nama ini didaftarkan secara rasmi dan dipatenkan. Cukup mengarut nama ini kan?
Prestasi pecutan kereta ini ialah sekitar 3.9 saat dari statik ke kelajuan 100km/h dan halaju tertinggi ialah 285km/h.
Kedua dua angka ini berada dalam julat supercar eksotik yang berharga jauh lebih mahal.
Sebagai perbandingan, Porsche Carrera GT turut mengambil masa 3.9 saat untuk mencapai 100km/h, Pagani Zonda 3.7 saat manakala BMW M3 5.3 saat.
Prestasi ini dicapai oleh Mitsubishi Evolution FQ 400 dengan enjin sesaran 2000cc dengan cesi sebuah sedan empat pintu.
Dalam rancangan Top Gear, bekas pengacara Jeremy Clarkson memandu Mitsubishi Evolution 8 FQ 400 dan mencabar Lamborghini Murchialago yang dipandu oleh James Kaye, Juara British Touring Car. Dalam video di atas , kita boleh lihat bagaimana FQ400 dengan enjin 4 silinder 2000 cc mampu membuli Lamborghini Murcielago dengan enjin V 12 silinder 6200cc.
Hail Japan!