
TOYOTA LETAK KARAVAN 760KG ATAS HILUX EV, TIRU AKSI TOP GEAR
Toyota kembali menguji tahap ketahanan model Hilux dengan cara yang agak ekstrem apabila sebuah karavan seberat kira-kira 760 kilogram dijatuhkan terus ke atas kabin Toyota Hilux elektrik generasi terbaharu. Aksi tersebut merupakan ulangan salah satu ujian paling ikonik yang pernah dilakukan oleh rancangan automotif Top Gear lebih dua dekad lalu.
Pada tahun 2003, Top Gear menguji sebuah Toyota Hilux lama dengan pelbagai cara untuk cuba memusnahkannya, termasuk merempuh objek, menenggelamkannya di dalam laut, menggunakan bebola pemusnah dan akhirnya menjatuhkan sebuah karavan ke atasnya.
Namun begitu, Hilux tersebut masih mampu berfungsi selepas melalui pelbagai seksaan berkenaan dan kemudiannya mendapat reputasi sebagai antara kenderaan yang sukar dimusnahkan. Untuk versi 2026 pula, Toyota tidak membuat keputusan mengenai bentuk ujian itu sendiri.

Sebaliknya, syarikat berkenaan meminta komuniti Reddit di United Kingdom memilih antara dua cabaran, iaitu menghentam Hilux dengan bebola pemusnah seberat satu tan atau menjatuhkan sebuah karavan ke atasnya. Komuniti Reddit akhirnya memilih ujian karavan, sekali gus memberi peluang kepada Toyota untuk menghidupkan kembali aksi yang pernah dilakukan Top Gear lebih 20 tahun lalu.
Ujian tersebut dijalankan di Bentwaters Airfield, Suffolk, apabila sebuah karavan seberat 760kg diangkat kira-kira 30 kaki atau sembilan meter sebelum dilepaskan terus ke atas bahagian kabin Hilux elektrik.
Selepas karavan menghentam kenderaan itu, pasukan jurutera Toyota melakukan pemeriksaan terhadap Hilux bagi melihat tahap kerosakan yang berlaku. Menurut Toyota, kenderaan tersebut hanya mengalami kerosakan sederhana pada bahagian badan. Sistem kenderaan masih boleh dihidupkan sejurus selepas ujian dan Hilux elektrik itu kemudiannya dipandu keluar dari kawasan ujian.
Toyota berkata ujian tersebut bukan sekadar bertujuan mengulangi aksi Top Gear, tetapi juga mahu menunjukkan bahawa peralihan daripada enjin pembakaran dalaman kepada kuasa elektrik tidak mengorbankan ciri ketahanan yang selama ini menjadi identiti Hilux.

Hilux elektrik terbaharu itu juga telah menjalani pelbagai ujian ketahanan sepanjang proses pembangunannya, termasuk pemanduan dalam air yang dalam, ujian di permukaan lasak serta ujian rendaman keseluruhan pek bateri. Toyota turut membangunkan penyelesaian khusus bagi melindungi bateri daripada kerosakan ketika kenderaan digunakan dalam keadaan ekstrem.
Ini penting memandangkan bateri merupakan salah satu komponen paling kritikal dan mahal pada sebuah kenderaan elektrik. Hilux generasi baharu kini ditawarkan dengan pilihan rangkaian kuasa elektrik bateri dan diesel 48V, bergantung kepada pasaran. Model tersebut masih mengekalkan ciri praktikal sebuah pikap dengan kapasiti muatan sehingga 1,065 kilogram serta keupayaan menunda treler sehingga 3.5 tan.
Toyota menyifatkan ujian menjatuhkan karavan ini sebagai baru permulaan. Selepas selesai aksi tersebut, Toyota menyerahkan Hilux elektrik berkenaan kepada pasukan Top Gear untuk menjalani lebih banyak ujian.








