Buletin

KIT KOTAK GEAR MANUAL GANTI SMG UNTUK BMW M3 CSL

Menukar kotak gear sama ada dari manual ke automatik atau sebaliknya adalah perkara normal. Biasanya kotak gear manual ditukar ke automatik supaya lebih selesa untuk pemanduan harian. 

Untuk kereta berprestasi pula, ada yang menukar kotak gear automatik kepada manual. Ada pelbagai sebab di antaranya ialah untuk penyelenggaraan dan sensasi pemanduan manual.

Ini pula kit penukaran untuk model hebat BMW E46 M3 CSL yang ditawarkan Everything M3, pakar model berprestasi BMW dari Banbury, United Kingdom.

BMW E46 M3 CSL merupakan sebuah model rare dan dikatakan satu dari kereta jalanan terbaik namun mempunyai isu mengenai kotak gear paddle shift generasi terawal.

Berdasarkan faktor tersebut, Everything M3 membangunkan satu alternatif untuk transmisi SMG iaitu kit penukaran kotak gear manual.

James Cottingham, pakar kereta super dari DK Engineering memaklumkan kotak gear manual BMW ini telah dicuba dan diuji di mana Everything M3 telah melakukan tugas yang cemerlang dalam menukar transmisi kepada manual.

Kit penukaran manual itu menggantikan elemen elektrohidraulik kotak gear asal dengan klac tradisional dan aturan batang gear menggunakan 180 komponen tulen BMW.

Proses tersebut hanya memakan masa beberapa hari untuk disiapkan.

Selepas kotak gear ditanggalkan dari kereta, satu mekanisma jenis tukaran self-centering berserta klac dan roda tenaga (flywheel) baharu dipasang. 

Proses seterusnya melibatkan pengekodan semula sistem pengurusan enjin untuk penyesuaian transmisi manual.

Satu ciri penting apabila melibatkan model edisi terhad seperti M3 CSL ialah keaslian bagi memelihara nilainya. 

Untuk itu, kesemua proses penukaran kit dari SMG ke manual boleh ditukar semula dan kesemua komponen dikekalkan dan memastikan model ini kembali mengikut spesifikasi kilang pada bila-bila masa dalam tempoh akan datang.

Individu di sebalik Everything M3 ialah Darragh Doyle, peminat BMW M3 sejak kecil dan mempunyai latar belakang kerjaya hebat.

Beliau pernah berkhidmat sebagai mekanik dan jurutera Formula 1 dan selepas itu menubuhkan Everything M3 dengan fokus pada baik pulih, penyelenggaraan, penalaan dan mempertingkatkannya.

Menurut Darragh Doyle sebab beliau membangunkan sendiri kotak gear manual ialah kerana tidak berpuas hati dengan CSL yang tidak ditawarkan dengan pilihan tersebut.

Tambah beliau lagi transmisi manual lebih mudah untuk digunakan di dalam trafik dan sekitar bandar selain memberi kawalan penuh di litar lumba. M3 CSL dengan transmisi manual adalah model yang patut BMW tawarkan.

Kit penukaran kotak gear oleh Everything M3 ditawarkan dari harga £3500 (RM19,418) dan mempunyai tempoh menunggu tetapi dalam jangka masa yang munasabah.

Ini idea bagus sebenarnya, tukar dari transmisi SMG kepada manual dan boleh dikembalikan semula mengikut keadaan kilang. Model rare mesti dijaga mengikut keadaan asal.

Film credit to Petroleum & Co
Thanks to James Cottingham, DK Engineering
Shot on location at Bicester Motion

Google ads
Back to top button