ADA iPHONE? BOLEH BUKA PINTU BMW DAN PELBAGAI FUNGSI GUNA TELEFON!
Pada Persidangan Pembangun Apple Sedunia yang berlangsung pada 23 Jun 2020 ada satu pengumuman menarik di mana BMW bakal menjadi pengeluar kereta pertama menggunakan iPhone sebagai kunci kereta digital penuh.
Canggih? Memang canggih! Sejarah BMW dengan peranti Apple bukan baharu. Pengeluar kereta premium dari Jerman itu adalah yang pertama mengintegrasi iPod dalam kenderaannya dan pertama menawarkan sambungan CarPlay tanpa wayar.
Sekali lagi BMW menjadi pengeluar kereta pertama dalam memperkenalkan sokongan untuk Kunci Digital BMW yang disimpan dengan selamat dalam Apple Wallet iPhone.
Cara untuk menggunakan Kunci Digital BMW mudah sahaja, pengguna hanya perlu sentuh (tap) untuk membuka pintu dan bagi menghidupkan kereta, letak iPhone dalam bekas telefon pintar dan tekan butang penghidup enjin.
Tetapan kunci digital boleh dibuat melalui Aplikasi Telefon Pintar BMW.
Selain itu, pemilik kereta boleh berkongsi akses dengan lima lagi individu seperti pasangan, pemandu atau sesiapa yang dirasakan perlu.
Akses untuk individu yang diberi kebenaran boleh dilakukan melalui fungsi iMessage.
Ada lagi fungsi menarik dan canggih. Pemilik boleh membuat tetapan khusus pada individu khas seperti pemandu muda dengan menghadkan kelajuan maksimum, kuasa enjin (hp), bunyi radio maksimum dan pelbagai lagi.
Pengurusan akses boleh dibuat di dalam kereta atau melalui fungsi Apple Wallet. Selain iPhone, sistem ini turut serasi dengan Apple Watch.
Bagi penggunaan Kunci Digital untuk iPhone, BMW memaklumkan ia boleh digunakan di 45 buah negara untuk pelbagai model iaitu 1, 2, 3, 4, 5, 6, 8, X5, X6, X7, X5M, X6M dan Z4 keluaran selepas 1 Julai 2020.
Model telefon yang sepadan pula ialah iPhone XR, iPhone XS atau model lebih baharu dan Apple Watch Series 5 dan ke atas.
Kumpulan BMW secara pantas dan serius memperakui potensi telefon pintar sebagai kunci digital jika ia dilakukan dengan betul.
Apple dan BMW telah bekerjasama rapat dengan Car Connectivity Consortium (CCC) untuk maju ke hadapan bagi mewujudkan standard global.
Pada Mei 2020, spesifikasi Kunci Digital 2.0 untuk NFC (Near-field communication) telah pun dikeluarkan. Manakala teknologi terbaru Kunci Digital menggunakan Ultra Wideband (UWB) pula sedang diusahakan.
Sebelum itu, ada yang tertanya bagaimana Kunci Digital berfungsi apabila bateri iPhone lemah?
Isu tersebut diselesaikan melalui rizab tenaga iPhone di mana fungsi kunci kereta masih boleh digunakan sehingga lima jam apabila telefon terpadam akibat kekurangan tenaga bateri.