Buletin

KRISIS COVID-19? PORSCHE CATAT UNTUNG OPERASI RM5.08 BILION 1H 2020

Porsche nampaknya berjaya menguruskan krisis COVID-19 lebih baik berbanding pengeluar kenderaan lain apabila ia mendedahkan prestasi kewangannya untuk separuh pertama 2020.

Dalam tempoh yang sangat mencabar ini, Porsche merekodkan keuntungan operasi sebanyak €1.2 bilion (RM5.08 bilion) dan perolehan jualan €12.42 bilion (RM52.6 bilion), turun 7.3 peratus.

“Situasi semasa sememangnya mencabar buat syarikat. Namun, kami menguruskan krisis ini secara bertanggunghawab dan pada masa sama melihatnya sebagai satu peluang.

“Produk-produk baharu seperti 911 Turbo dan Taycan mendapat sambutan hangat. Kami juga akan melabur sebanyak €15 bilion (RM63.5 bilion) ke atas teknologi baharu dalam tempoh lima tahun,” kata Pengerusi Lembaga Eksekutif Porsche, Oliver Blume.

Jualan keseluruhan Porsche untuk enam bulan pertama tahun ini jatuh 12.4 peratus kepada 116,964 unit. Cayenne menjadi model paling laris dengan 39,245 unit, diikuti oleh SUV lebih kecil Macan sebanyak 34,430 unit.

Rangkaian model 911 menyaksikan pertumbuhan 2.2 peratus kepada 6,919 unit. Manakala sebanyak 4,480 unit Taycan berjaya dijual dalam tempoh yang sama.  

China kekal menjadi pasaran terbesar Porsche dengan penyerahan 39,603 unit. Baki 32,312 dijual di Eropah dan 24,186 unit lagi di pasaran Amerika Syarikat.

Tags
Google ads
Back to top button