Buletin

KOS UJIAN PCR LEBIH MAHAL BERBANDING TIKET PENERBANGAN DI BRITAIN

Kos melakukan ujian saringan Covid-19 di Britain disifatkan lebih mahal berbanding membeli tiket penerbangan bagi perjalanan pergi dan balik ke Eropah.

Keadaan itu menyebabkan orang ramai perlu mengeluarkan belanja tinggi bagi membolehkan mereka bercuti pada musim panas ini.

 Selain itu, ramai ahli Parlimen turut tidak berpuas hati dengan perkara tersebut.

Sebagai contoh, syarikat penerbangan Ryanair menawarkan promosi tiket pergi balik dari lapangan terbang East Midlands ke Barcelona dan Exeter ke Alicante pada harga 18 pound (RM105) antara 24 dan 27 Ogos ini.

Namun, orang ramai perlu membayar 93 pound (RM544) untuk melakukan ujian Covid-19 dan harga tersebut lima kali ganda lebih tinggi berbanding promosi tiket kapal terbang yang ditawarkan.

Penduduk Britain perlu membayar kos ujian Covid-19 yang lebih tinggi sekiranya mereka ingin bercuti ke Berlin, Budapest dan Faro di Algarve.

Kesemua kos itu melibatkan ujian Covid-19 yang perlu dilakukan sekali selepas penduduk Britain pulang bercuti dari mana-mana destinasi di Eropah.

Kos akan meningkat dua kali ganda apabila penumpang kapal terbang dikehendaki melakukan ujian Covid-19 sebelum menaiki pesawat. – UTUSAN

Google ads
Back to top button