Buletin

ENGLAND MANSUH SEKATAN KEKANG COVID-19. UNDANG KRITIKAN PEMBANGKANG, SAINTIS

Kerajaan British hari ini menamatkan sekatan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di England yang merangkumi semua prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan fizikal.

Tindakan itu mengundang kritikan dan amaran dalam kalangan parti pembangkang serta saintis yang menyifatkannya sebagai bakal mengundang bahaya.

Bermula tengah malam tadi, kelab malam boleh dibuka semula dan lain-lain premis tertutup dibenarkan beroperasi dalam kapasiti penuh. Undang-undang yang meliputi pemakaian pelitup muka dan bekerja dari rumah turut dimansuhkan.

Perdana Menteri, Boris Johnson yang kini menjalani kuarantin kendiri selepas ada kontak rapat dengan menteri kesihatan yang positif COVID-19, meminta orang awam terus berwaspada.

Beliau mempertahankan pendirian membuka semula sektor berkenaan, yang dianggap sebagai ‘Hari Kebebasan’ oleh beberapa agensi media. Namun, saintis menyuarakan kebimbangan kerana jangkitan harian di Britian kini mencecah 50,000 kes di belakang Indonesia dan Brazil.

“Jika kita tidak lakukan sekarang, kita akan buka semula pada musim luruh atau pada musim sejuk sewaktu virus ada kelebihan ketika cuaca sejuk.

“Minggu ini akan mula cuti persekolahan musim panas, yang menawarkan ‘penghalang bernilai’ bagi membolehkan kita menyesuaikan kehidupan di sebalik ancaman coronavirus.

“Sekiranya kita tidak melakukannya sekarang, kita harus tanya pada diri sendiri, bila lagi kita akan lakukannya? Jadi, ini adalah masa tepat tetapi kita harus melakukan dengan berhati-hati,” katanya menerusi mesej video.

Setakat ini, dua pertiga golongan dewasa di United Kingdom (UK) sudah lengkap menerima dua dos vaksin.

Di pihak pembangkang, jurucakap kesihatan Parti Buruh, Jonathan Ashworth, berkata kerajaan bersikap sambil lewa. Ashworth juga mengingatkan kebimbangan pakar bahawa pembukaan sektor berkenaan akan membahayakan kesihatan global.

Pakar dari Kolej Imperial London, Prof Neil Ferguson, memberi amaran kes jangkitan di Britain mungkin mencecah 100,000 sehari kerana penularan varian Delta yang pantas merebak. – AFP

Google ads
Back to top button