Buletin

MOSCOW TAWAR 5 KERETA PERCUMA GALAK PENDUDUK VAKSIN COVID-19

Sebanyak lima buah kereta percuma akan diberikan kepada penduduk bertuah yang telah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dalam bentuk cabutan di Moscow, Rusia.

Ibu negara Rusia itu mencatatkan 7,704 kes baharu pada Ahad lalu sekali gus melakar kes paling banyak sejak 24 Disember tahun lepas.

Datuk Bandar Moscow, Sergey Sobyanin, berkata sesiapa berusia 18 tahun ke atas yang menerima salah satu daripada dua dos suntikan vaksin bermula pada 14 Jun sehingga 11 Julai secara automatik layak dalam cabutan memenangi kereta itu.

Dia memberitahu lima kereta bernilai AS$13,900 (RM57,198) seunit itu akan diberikan pada setiap minggu kepada pemenang bertuah.

Sobyanin secara terbuka menempelak betapa sedikit penduduk yang mendapat vaksin di bandar dihuni lebih 12 juta orang itu.

“Ini merupakan usaha jalan penyelesaian sementara.

“Vaksinasi perlu dipercepatkan bagi membendung sekatan baharu dan menjamin keadaan bertambah baik,” katanya.

Rusia mula proses suntikan Sputnik V pada bulan Disember lalu dan ia terbuka kepada semua orang di Moscow. –autoblog

Google ads
Back to top button