Artikel Pilihan

PORSCHE CARRERA GT, SUPERCAR PALING LIAR, PALING BAHAYA. TIADA ESC

Anda mungkin jarang mendengar berkenaan dengan nama Porsche Carrrera GT, tapi inilah kereta yang dipandu oleh mendiang Roger Rodas dan Paul Walker yang meragut nyawa mereka berdua. Sebanyak 1270 unit Carrera GT yang dihasilkan antara tahun 2003 ke 2007, menjadikan antara supercar yang paling maju ketika itu

Carrera GT dikuasakan dengan enjin 5700cc V10 Natural Aspirated yang diinspirasikan dari kegunaan perlumbaan dan projek F1 yang dibatalkan oleh Porsche. Namun enjin ini pernah digunakan pada kereta lumba Porsche 911 GT1 dan LMP yang digunakan pada perlumbaan Le Mans

Sama seperti supercar lain, cesi monocoque dan cesi subfram Carrera GT dihasilkan dari penggunaan gentian karbon termasuklah beberapa komponen suspensi. Walter Rohl iaitu pemandu ujian Porsche menyifatkan Carrera sebagai supercar pertama yang menakutkan sepanjang karier beliau sebagai pemandu ujian dan pelumba

Walter juga menyifatkan Carrera GT menghasilkan kuasa yang luar biasa kuat untuk dikawal oleh pemandu biasa yang tiada pengalaman memandu supercar. Ketika dikeluarkan dari kilang, Carrera GT menghasilkan 603 kuasa kuda dan 590Nm tork dan hanya ditawarkan dengan transmisi 6 kelajuan manual

Pada ketika itu Ferrari dan juga Lamborghini sudah mula menawarkan transmisi automatik dengan paddleshift bagi memudahkan pemandu biasa menjinakkan jentera liar mereka. Enjin Carrera GT dipasang secara MR, iaitu enjin di tengah cesi dengan kuasa dihantar terus ke tayar belakang.

Enjin di tengah cesi memberikan pengendalian yang tangkas, namun untuk pemandu biasa ia boleh menjadi bencana. Tambahan pula semua kuasa enjin dihantar terus ke tayar belakang, sedikit kesilapan dalam kawalan pedal minyak, klac dan brek akan menghantar terus Carrera GT dalam situasi oversteer.

Carrera GT juga boleh dikatakan supercar analog serta tidak disertakan dengan ESC, bayangkan Axia pun sudah ditawarkan dengan ESC. Bukan Porsche tidak tahu pasal ESC, tapi mereka memutuskan Carrera GT tidak perlukan ESC dan hanya pemandu yang mahir sahaja boleh menjinakkan supercar ini

Hanya brek ABS sahaja menjadi senjata elektronik bagi mengawal sistem brek Carrera GT disebabkan jurutera Porsche mahukan supercar ini menjadi pilihan bagi pemandu yang hardocore dan mengurangkan harga supercar ini di pusat jualan. Salah satu sebab ESC (PSM bagi istilah Porsche) tidak dipasang ialah ia akan menghasilkan gegaran pada cesi ketika operasi

Alasan kedua ESC tidak dipasang ialah jurutera Porsche berpendapat, untuk memandu Carrera GT pada prestasi optimum pemandu profesional biasa akan mematikan fungsi ESC. Jadi mengapa Porsche perlu memasang ESC yang pada akhirnya akan ditutup sepanjang masa

Salah satu kelemahan Carrera Gt ketika pembangunan ialah ia mudah mengalami oversteer ketika melalui selekoh panjang dan lebar pada halaju tinggi. Porsche telah cuba membetulkan masalah ini tapi tidak berjaya sepenuhnya. Berikut ialah beberapa kemalangan yang melibatkan Carrera GT:

1. Satu kemalangn berlaku di California Speedway track pada tahun 2006. Dalam kenyataan mahkamah selepas Porsche Amerika disaman, jurutera menjelaskan ketiadaan ESC adalah satu faktor mengapa Carrera GT terbabas

2. Jay Leno, hos popular di Amerika terbabas di litar ketika memasuki selekoh. Jay hanya melepaskan pedal minyak ketika mula memasuki selekoh, menjejaskan imbangan berat (weight transfer) dan menyebabkan oversteer. Nasib baik dia hidup

3. Carrera GT milik Paul Walker didapati menggunakan tayar yang telah berusia 9 tahun ketika kejadian. Porsche telah memberi amaran agar tayar perlu ditukar selepas 6 tahun walaupun tidak dipandu langsung. Meadow Rain Walker membawa kes saman mereka terhadap Porsche Amerika dan kes diselesaikan di luar mahkamah

Porsche Carrera GT kekal sebagai sebuah supercar yang “raw”, tiada bantuan elektronik, enjin MR pacuan belakang dengan prestasi yang menakutkan terutama untuk kegunaan jalan biasa. Ia hanya sesuai untuk pemandu profesional yang biasa dengan kuasa tinggi serta di litar tapi bila anda buat silap, ia sukar memaafkan kesilapan tersebut

Walaupun supercar lain ketika itu lebih melindungi dan memaafkan pemandu, Carrera GT adalah spesis yang sebaliknya. Ia perlu dihormati, perlu difahami dengan kerekter dinamik pemanduannya jika tidak ia akan menghantar anda ke alam barzah dengan senang.

Google ads
Back to top button