Buletin

KPDNHEP AKAN PANTAU PENJUALAN KERUSI KESELAMATAN KANAK-KANAK DI INTERNET

Sedia maklum bahawa mulai 1 Januari 2020, pengunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan persendirian adalah diwajibkan. 

Justeru, kita pasti dapat melihat semakin ramai individu mahupun syarikat akan menjual barangan tersebut secara dalam talian mahupun offllne. 

Bagi memastikan kerusi itu mematuhi ciri dan piawaian yang telah ditetapkan oleh kerajaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan ia akan memantau dengan teliti penjualan produk berkenaan di internet. 

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu pihaknya bertanggungjawab dalam memastikan tidak timbul isu atau aduan kerusi keselamatan kanak-kanak tiruan dan tidak selamat dijual kepada orang ramai. Sebaik sahaja penggunaannya diwajibkan mulai tahun depan, kementerian akan melaksanakan penguatkuasaan. 

Baru-baru ini, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telahpun mengeluarkan garis panduan serta ciri kerusi keselamatan kanak-kanak. 

“Ia merangkumi aspek pematuhan ciri yang ditetapkan oleh MIROS, standard keselamatan produk, cap dagangan, produk palsu, tulen dan sebagainya. KPDNHEP akan pastikan apa yang diiklankan oleh penjual betul-betul ada pada produk berkenaan,” kata Saifuddin. 

Beliau berkata demikian apabila ditanya tentang laporan akhbar yang menyatakan kerusi keselamatan kanak-kanak boleh dibeli secara dalam talian pada harga serendah RM18 hingga RM39.90 seunit. 

Buat masa sekarang, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perihal Dagangan 2011 dilihat boleh membantu untuk membendung penularan penjualan kerusi keselamatan yang tidak menepati piawaian ditetapkan.

Google ads
Back to top button