Buletin

CHINA WAJIBKAN PEMAKAIAN KERUSI KESELAMATAN KANAK-KANAK

Undang-Undang Perlindungan Individu Bawah Umur yang dipinda bagi mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak mula dikuatkuasakan secara rasmi di China pada Selasa.

Pindaan fasal ini kali pertama dimasukkan ke dalam undang-undang kebangsaan negara tersebut.

Penggunaan kerusi itu disifatkan kaedah paling berkesan untuk melindungi keselamatan kanak-kanak ketika berada di dalam kenderaan.

Menurut Laporan Status Keselamatan Jalan Sejagat 2018 yang diedarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak mampu mengurangkan kes kematian sekurang-kurangnya sehingga 60 peratus.

Daripada 175 negara yang menyertai kaji selidik itu, terdapat 84 negara menguatkuasakan undang-undang berkaitan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak.

Menurut perkara 18 Undang-Undang Perlindungan Individu Bawah Umur China, ibu bapa atau penjaga wajib “menyediakan kerusi keselamatan kanak-kanak dan mendidik golongan di bawah umur mematuhi peraturan trafik bagi mengelakkan kemalangan”.

Sehingga kini, beberapa bandar seperti Shanghai, Shenzhen dan Suzhou telah mewajibkan penggunaannya.- Bernama

Google ads
Back to top button