Buletin

MIROS UJI HAD LAJU MINIMUM, SASAR KURANGKAN ‘LANE HOGGING’ DI LEBUH RAYA

Pemandu yang gemar memandu perlahan di lorong kanan lebuh raya mungkin bakal berdepan pemantauan lebih ketat apabila Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) memulakan projek perintis had laju minimum berbentuk nasihat bagi melancarkan aliran trafik.

Inisiatif yang berlangsung sehingga 31 Oktober itu dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), PLUS Malaysia Berhad dan South Klang Valley Expressway (SKVE).

Menurut Miros, langkah tersebut bertujuan mengurangkan amalan “lane hogging” atau penggunaan berterusan lorong kanan oleh kenderaan yang bergerak perlahan, sekali gus membantu melancarkan pergerakan trafik dan mengurangkan risiko kemalangan.

Melalui projek berkenaan, pemandu digalakkan memilih lorong yang bersesuaian dengan kelajuan kenderaan masing-masing. Kenderaan yang bergerak perlahan disaran menggunakan lorong kiri atau tengah bagi mengelakkan gangguan kepada aliran trafik di lorong memotong.

Ujian itu dijalankan di tiga lokasi utama iaitu di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) E1 dari KM400.1 hingga KM388.0 arah utara antara Tanjung Malim dan Behrang, SKVE E26 dari KM9.6 hingga KM16.7 antara Plaza Tol Ayer Hitam dan Bandar Saujana Putra, serta PLUS E2 dari KM267.8 hingga KM278.8 arah utara antara Bandar Ainsdale dan Nilai.

Sepanjang tempoh percubaan, Miros akan mengumpul data bagi menilai sama ada cadangan had laju minimum tersebut mampu mempengaruhi tingkah laku pemandu sebelum sebarang keputusan dibuat untuk memperluaskannya ke kawasan lain.

Bagi lebuh raya yang mempunyai tiga hingga empat lorong, kelajuan minimum yang disyorkan ialah 60 kilometer sejam (km/j) di lorong kiri, 80 km/j di lorong tengah dan 100 km/j di lorong kanan.

Untuk lebuh raya dua lorong pula, lorong kanan disyorkan digunakan oleh kenderaan yang bergerak sekurang-kurangnya pada kelajuan 80 km/j.

Papan tanda khas akan dipasang di kawasan terlibat bagi memaklumkan pengguna jalan raya mengenai cadangan kelajuan tersebut.

Bagaimanapun, Miros menegaskan bahawa had laju minimum itu bukan peraturan mandatori dan tidak boleh dikuatkuasakan dari sudut undang-undang.

Pemandu masih perlu menyesuaikan kelajuan mengikut keadaan trafik, cuaca dan faktor keselamatan semasa.

Cadangan kelajuan itu juga tidak terpakai ketika hujan lebat, jarak penglihatan terhad, kesesakan lalu lintas, kemalangan, kerja penyelenggaraan jalan atau apabila terdapat arahan daripada polis serta petugas lebuh raya.

Menurut Miros, keselamatan pengguna jalan raya kekal menjadi keutamaan, justeru pemandu diingatkan supaya sentiasa mengekalkan jarak selamat dengan kenderaan di hadapan.

Pendekatan menggunakan had laju minimum bukanlah perkara baharu di peringkat antarabangsa. Jerman, Jepun dan beberapa negeri di Amerika Syarikat telah lama mengguna pakai konsep serupa bagi mengelakkan kenderaan bergerak terlalu perlahan sehingga menjejaskan kelancaran trafik dan meningkatkan risiko kemalangan.

Miros berharap projek perintis itu dapat membantu membentuk budaya pemanduan yang lebih berdisiplin serta meningkatkan etika penggunaan lorong di lebuh raya negara ini. – Malay Mail

Google ads
Back to top button