Artikel Pilihan

BERAPA JUMLAH KERUSI KESELAMATAN BAYI YANG BOLEH DIPASANG PADA MPV/SUV?

Walaupaun penulis kecewa kerana pada tahun depan masih lagi tiada kereta terbang, tapi kerajaan sudah bertindak cemerlang dengan meletakkan tahun 2020 sebagai tahun untuk memulakan pemasangan wajib kerusi keselamatan bayi dan kanak – kanak bagi kenderaan persendirian. Namun penguatkuasaannya hanya akan bermula pada bulan Jun 2020 bagi memberi masa untuk pengguna membuat persediaan. Seperti yang kita sedia maklum, harga satu unit kerusi keselamatan bayi bukanlah murah.

Namun bagi pengguna di negara ini, bagi mereka peraturan baru ini amat menyusahkan. Mereka lebih suka anak mereka bergerak bebas dan tercampak sesuka hati di atas jalan raya apabila kemalangan berlaku. Apatah lagi beberapa laman Facebook yang gilakan LIKE pada tahun lepas memaparkan beberapa idea untuk tidur dalam kereta sewaktu pulang beraya ke kampung.

Sesetangah daripada pengguna bukanlah dari golongan yang mampu berkereta besar, maka cara yang paling mudah ialah memuatkan kesemua 7 ahli keluarga dalam kereta sedan ataupun dalam kereta kompak yang dibeli secara tunai. Penulis masih lagi ingat 10 tahun lepas kita masih boleh melihat keluarga dengan 7 ahli keluarga disumbat dalam kereta merupakan satu pemandangan biasa. Ayah memandu, emak meriba anak paling kecil, dan 4 beradik akan berhimpit di barisan belakang.

Jadi sebuah kenderaan pelbagai guna MPV,crossover atau SUV 7 tempat duduk yang menawarkan ruang yang cukup dan tali pinggang yang cukup. Namun ia bukanlah idea yang cerdik untuk memasangkan tali pinggang keselamatan pada bayi, dan kanak-kanak yang berumur kurang 10 tahun dengan ketinggian kurang 145cm kerana mereka akan mengalami fenomena submarine sewaktu kemalangan berlaku.

Sewaktu kemalangan berlaku, tali pinggang keselamatan sepatutnya menahan tubuh manusia daripada terhumban ke depan jika kereta berhenti secara tiba-tiba. Namun tali pinggang sebenarnya direka untuk berfungsi bagi penumpang dewasa dengan ketinggian melebihi 145cm. Jika tidak cukup tinggi atau berat, mereka akan menggelungsur di bawah tali pinggang dan menghentam papan pemuka ataupun kusyen barisan depan.

Hal ini boleh dielakkan dengan menggunakan kerusi keselamatan bayi dan kanak-kanak. Bayi baru lahir dan di bawah 6 bulan sepatutnya diletakkan dalam Child Restraint System (selepas ini akan disebut sebagai CRS) yang menghadap ke belakang, bayi yang berumur 6 bulan sehingga 48 bulan dicadangkan menggunakan CRS menghadap ke belakang bagi mengelakkan kecederaan pada tengkuk sewaktu kemalangan dan kanak- kanak berumur 7 tahun ke atas perlu menggunakan CRS dari jenis booster bagi mengurangkan kecederaan.

Data ini diperolehi dari peraturan Australia/New Zealand Standard 1754. Peraturan ini juga menetapkan kerusi penumpang depan tidak digalakkan untuk dipasang dengan CRS walaupun kereta terbabit memiliki butang untuk menyahaktifkan beg udara. Ini bermakna bagi kereta biasa yang memiliki 5 tempat duduk, hanya ada 3 tempat di barisan kedua belakang untuk memuatkan CRS yang besar bergedabak. Namun sesetengah pengeluar menetapkan hanya 2 CRS di kerusi belakang.

Solusi yang ada bagi keluarga yang sudah bertambah ahli keluarga ialah dengan menukar kereta kepada MPV dengan 7 tempat duduk. Alasannya ialah 7 tempat duduk bukan sahaja lebih selesa, tapi boleh memuatkan lebih dari 2 unit CRS. Faktanya ialah sesetengah MPV/SUV/crossover dengan 7 tempat duduk hanya membenarkan 2 sahaja CRS dipasang hanya di barisan kedua tempat duduk. Sesetengah kenderaan membenarkan CRS dipasang pada barisan ketiga namun ia terhad pada CRS yang dihasilkan oleh pengeluar kenderaan sahaja

Salah satu sebab yang menghalang pemasangan CRS melebihi 2 ialah faktor keluasan dan dimensi. Sebaik sahaja CRS dipasang pada barisan kedua, ia akan menggunakan ruang kaki di barisan kedua dan menyebabkan kerusi barisan kedua di tolak ke belakang. Namun sebaik sahaja kerusi barisan kedua ditolak ke belakang, ruang di barisan ke 3 akan terjejas. Sesetengah kerusi di barisan ke 2 bahagian tengah juga tidak dapat memuatkan CRS disebabkan oleh masalah ruang

Jadi kami senaraikan di sini berapa bilangan CRS yang boleh dimuatkan dalam model MPV, SUV dan crossover berdasarkan saranan badan Europe NCAP. Terdapat 3 jenis CRS yang diuji dalam yang merangkumi saiz yang berbeza iaitu dari 0-12 bulan, 0-48 bulan dan 9-36 bulan. Warna merah menandakan CRS boleh dipasang menggunakan ISOFIX manakala warna biru boleh dipasang dengan menggunakan tali pinggang keselamatan.

Berikut adalah senarai kereta dan bilangan CRS yang boleh dipasang berdasarkan laman EURO NCAP.

  1. SUV Audi Q7 dan MPV VW Touran boleh memuatkan 5 CRS dengan kaedah pemasangan ISOFIX. 3 unit di barisan ke 2 dan 2 unit di barisan ke 3

2. Land Rover Discovery – 4 CRS Isofix dan 1 CRS pemasangan tali pinggang di barisan ke 2. Bahagian tengah memerlukan pemasangan tali pinggang keselamatan.

3. Volvo XC90 boleh memuatkan 2 CRS Isofix di barisan kedua dan 3 CRS pemasangan tali pinggang (1 barisan ke 2 dan 2 unit CRS barisan ke 3)

4. Kia Sorento boleh memuatkan 2 CRS Isofix pada bahagian barisan kedua dan 2 CRS pada barisan ke tiga dengan pemasangan tali pinggang keselamatan. Barisan kedua tidak dapat memuatkan CRS pada bahagian tengah.

Bagi pasaran Malaysia, anda boleh merujuk pada laman ASEAN NCAP bagi merujuk kepada jenama CRS yang boleh dipasang pada barisan pertama, kedua dan ketiga dengan selesa. Pembaca boleh menyemak jenis dan di mana CRS boleh dipasang pada MPV/crossover di laman web tersebut. Namun berdasarkan pengamatan penulis, CRS jenama Combi Malgot, Combi Buon Junior Air, dan Britax KidFix XP adalah anatar jenama yang boleh dipasang dengan mudah pada model Aruz/Rush dan juga Xpander.

Namun penulis masih tidak adakah MPV/crossover ini mampu memuatkan CRS melebihi 2 unit dalam satu satu masa. Sekiranya tuan puan pernah memuatkan CRS melebihi 2 unit pada MPV/SUV jenama tempatan, penulis mengalu-alukan maklumbalas dari pembaca di ruangan komen Facebook

Google ads
Back to top button