Buletin

TOYOTA GR COROLLA TERBAKAR, TOYOTA BAGI PELBAGAI ALASAN TOLAK TUNTUTAN WARANTI

Jika anda memiliki Toyota GR Corolla, mungkin anda perlu berhati-hati dalam memandu kereta ini dengan terlalu agresif.

Dua pemilik GR Corolla telah mengalami nasib malang apabila kereta mereka terbakar dan Toyota menolak tuntutan waranti mereka.

Terdahulu, Motor1 melaporkan dua insiden berasingan yang melibatkan GR Corolla yang musnah terbakar.

Insiden pertama melibatkan Bryan Banks dan GR Corolla Circuit Edition 2023 miliknya, yang terbakar pada 8 Jun setelah mengalami kerosakan enjin.

Banks membuat tuntutan dengan insurans peribadinya dan menerima pampasan yang menanggung sebahagian besar kerosakan, namun beliau menghubungi Toyota dengan harapan syarikat itu akan menanggung baki kos.

Respons Toyota agak mengelirukan, apabila syarikat itu seolah-olah menyatakan bahawa kebakaran tersebut berpunca daripada pemanduan laju.

Pada dasarnya, alasan Toyota menolak tuntutan Banks adalah kerana “kereta telah disalahgunakan.”

Situasi yang sama berlaku kepada seorang lagi pemilik GR Corolla bernama Sebastian R. Corolla miliknya musnah terbakar di tengah padang pasir, dan kereta tersebut baru sahaja melebihi 9,000 batu.

“Pada mulanya saya mendapat notifikasi pada telefon saya melalui Toyota Connect yang mengatakan untuk memeriksa enjin, kerosakan dalam kawalan elektronik, yang saya fikir agak pelik,” kata Sebastian.

Tidak lama selepas itu, Corolla tersebut mengalami kerosakan dan akhirnya terbakar. Lebih buruk lagi, Sebastian mengalami kegagalan insurans pada masa itu.

Sebastian membuat tuntutan dengan Toyota, tetapi pengeluar kereta itu tidak memberikan sebab mengapa, hanya menyatakan bahawa punca kebakaran tidak dapat disimpulkan walaupun terdapat lubang pada blok enjin.

Sebastian berkata keseluruhan urusan cuba menghubungi Toyota untuk tuntutan adalah sangat sukar.

Kedua-duanya berspekulasi bahawa penolakan mereka adalah kesilapan perkeranian, kerana dinyatakan kedua-dua kebakaran mereka berlaku pada hari yang sama, walaupun sebenarnya tidak.

Toyota hanya memberikan respons ringkas, mengatakan, “Semua tuntutan dikaji secara individu, termasuk yang ini, dan kami akan melihat data kenderaan, rekod pengedar, kenyataan saksi, serta maklumat lain.”

Google ads
Back to top button