Artikel Pilihan

BOLEH KE GUNA BATERI ASID BIASA PADA KERETA YANG ADA START/STOP?

Tahukah anda bahawa kereta yang dilengkapi dengan sistem start stop sebenarnya diberikan dengan bateri yang berbeza. Bateri ini dinamakan sebagai Enhanced Flooded Battery memang direka khusus untuk kegunaan operasi start stop yang akan memastikan dan menghidupkan enjin dengan lebih kerap

Walaupun tujuan utama sistem start stop ialah mengurangkan penggunaan enjin, menjimatkan bahan api dan mengurangkan pelepasan asap tetapi kos penggantian bateri EFB adalah jauh lebih mahal berbanding dengan bateri biasa. Kadangkala kos ini melebihi 50% berbanding dengan bateri asal

Jadi alternatif lain ialah dengan menggunakan bateri asid biasa dan sekiranya anda sudah tidak berminat untuk menggunakan sistem start stop maka (samaada dimatik secara manual atau ditutup secara tetap) maka secara teknikalnya anda boleh menggunakan bateri asid biasa

Berbeza dengan bateri EFB, bateri asid biasa sebenarnya jauh lebih murah antara 30% sehingga 50% berbanding dengan bateri EFB. Sebagai contoh jika bateri asid biasa bebas penyelenggaraan berharga RM 160-RM 180, maka bateri EFB akan berharga antara RM 330 sehingga RM 380 bergantung pada jenama

Bateri asid juga lebih senang untuk dicari dan lebih mudah untuk dijumpai berbanding dengan bateri EFB. Ia kedengaran seperti tidak penting, tapi sekiranya anda tersadai di kawasan pedalaman maka anda akan dapati bahawa faktor ini juga memberi kelebihan yang bagus

Namun anda perlu juga mempertimbangkan beberapa faktor lain yang menjadi isu teknikal sekiranya anda menukar bateri EFB kepada bateri Asid yang biasa. Pertama ialah aspek ECU kereta yang masih menggunakan parameter yang sama untuk bateri EFB

Jadi ECU kereta akan memantau voltan dan arus yang keluar dari bateri berdasarkan parameter bateri EFB yang berbeza dengan bateri asid biasa. Keadaan ini mungkin akan menyebabkan lampu amaran akan menyala pada meter paparan pemandu

ECU juga mungkin akan menggunakan parameter pengecasan khas untuk EFB dimana pengecasan yang lebih agresif digunakan bagi kegunaan operasi sistem start stop. Jika terlebih caj, bateri asid mungkin akan lebih cepat rosak

Sama seperti kereta lain yang menggunakan bateri 12v untuk kegunaan sistem elektronik yang lain, perubahan pada voltan dan arus juga mungkin akan menjejaskan ketahanan sistem elektronik. Jika berlaku sebarang kerosakan pada sistem elektronik, besar kemungkinan jaminan pengeluar akan terbatal

Jadi penulis menyarankan agar pembaca terus menggunakan bateri EFB berbanding dengan bateri asid biasa, walaupun sistem start stop tidak lagi digunakan atau telah dimatikan secara tetap

Terdapat beberapa kelebihan jika anda tetap menggunakan bateri EFB biarpun sistem start stop tidak lagi digunakan seperti bateri EFB menjadi kurang terbeban dengan tugas start stop, dan keadaan ini akan memanjangkan jangka hayat bateri

Kitaran operasi nyahcas dan pengecasan juga berlaku dengan lebih perlahan dan jarang berbanding dengan keadaan asal dengan operasi sistem start stop digunakan. Keadaan ini sekaligus mengurangkan kehausan pada plat bateri serta memanjangkan jangka hayat bateri

Pada masa yang sama sistem pengecasan bateri dengan alternator asal dan diuruskan oleh ECU masih boleh beroperasi dengan menggunakan parameter asal tanpa masalah. Jadi tidak wujud masalah “overcharge” pada bateri yang akhirnya akan merosakkan bateri dengan cepat

Secara anggaran relatif, jika bateri EFB digunakan bersama-sama dengan sistem start stop maka jangkahayat bateri adalah antara 1.5 tahun ke 2.5 tahun. Sebaliknya bateri EFB boleh bertahan antara 2.5 tahun ke 4 tahun jika sistem start stop dimatikan sepenuhnya

Jadi sekiranya anda bercadang untuk tidak timbul sebarang masalah pada sistem elektronik kenderaan, maka bateri EFB adalah pilihan yang lebih baik walaupun bateri start stop tidak lagi digunakan

Google ads
Back to top button