PEMBELI GR COROLLA TIDAK BERMINAT DENGAN GEAR AUTO – KITA SEKAPAL NAMPAKNYA
Toyota GR Corolla melangkah bergaya ke tahun 2025 dengan beberapa ciri dinaiktaraf. Paling ketara sekali semestinya pilihan kotak gear auto lapan-kelajuan selain kotak gear manual enam kelajuan asal. Ia disasarkan khusus untuk peminat hot hatch yang malas menggerakkan kaki mereka dengan alasan lenguh, letih sangkut dalam jem ataupun yang popular sekali “Abang Japar tak rasa lagi balik beraya Kelantan ikut Gua Musang”.
Ini hot hatch saudara-saudara. Jarang orang bawak kereta sports macam ni angkut anak bini balik kampung.
Kalau mengikut tradisi model-model lain, kotak gear automatik memang akan menjadi pilihan majority bila ia ditawarkan. Namun ia tidak berlaku pada pembeli GR Corolla. Mereka tetap memilih versi manual. Dah nama pun kereta sport kan?
Jurucakap Toyota memberitahu laman permotoran Carbuzz bahawa mereka menjangkakan pecahan 80/20 sebaik jualan model 2025 dibuka. 80 peratus merujuk kepada pembeli varian manual manakala baki 20 peratus merupakan peminat automatik.
Fuh, bayangkan dalam dunia di mana guru tak boleh menjentik telinga murid, ibu bapa boleh disaman kalau merotan anak dan segalanya serba automatik masih ada segelintir manusia yang memilih kereta dengan kotak gear manual. Syukurlah peminat gear manual ini masih belum pupus macam burung dodo.
Sebenarnya gear automatik pada GR Corolla bukannya macam gear automatik klasik. Ia dibekalkan dengan perisian yang mampu membuat perkiraan berdasarkan pecutan minyak dan input brek dari kaki pemandu.
Ia bermakna GR Corolla mampu membezakan karektor pemanduan anda di atas litar dan sewaktu keluar membeli barang basah. Ia kemudian akan membuat tukaran gear bersesuaian dengan keadaan pemanduan.
Kotak gear auto ini juga didatangkan dengan sistem kawalan pecutan (launch control) yang tidak ada pada varian manual. Hebat jugak eh.
Tak kiralah sama ada varian transmisi auto atau manual, GR Corolla 2025 diberikan pelarasan enjin baharu yang menghasilkan kuasa yang sama tapi dengan tork yang dipertingkatkan. Tetapan suspensi juga digodek supaya lebih keras untuk kestabilan di selekoh. Barulah best balik beraya nanti. Ko guano bey?