GR COROLLA AUTOMATIK SUDAH HADIR – JANGAN INGAT INI AUTO BIASA DIK
Seperti mana khabar angin sebelum ini, Toyota kini benar-benar hasilkan GR Corolla automatik. Ya siapa kata lelaki sejati hanya pandu kereta dengan tiga pedal, abang sendiri jangan kan tiga pedal, pedal ayam pun abang sapu dik.
Mula-mula dengar memang bunyi agak janggal. Macam mana la Toyota boleh terlintas untuk memasang gear auto pada sebuah jentera rali jalanan ni. Tapi ingat ini bukan gear teknologi sepuluh tahun dahulu. Toyota menggelarkannya sebagai DAT ataupun Direct Automatic Transmission 8-kelajuan. Ia memastikan aliran kuasa yang linear antara enjin dan kotak gear.
Bukan itu sahaja, DAT mampu mengesan jika brek ditekan secara keras dan penurunan gear. Ia akan membantu melancarkan tukaran gear sebelum sempat anda menekan pendikit untuk keluar dari selekoh.
Satu perkara yang pasti ialah DAT dihasilkan untuk menjadikannya lebih pantas dari kotak gear manual. Ia sebelum ini telah diuji pada GR Yaris yang berlumba dalam perlumbaan tahan lasak Super Taikyu. Bahkan ia diuji oleh Akio Toyoda sendiri dan turut berlumba dalam Gazoo Racing Rally Challenge di Jepun.
Menurut Toyoda, sewaktu menyertai perlumbaan Super Taikyu perbezaan tukaran gear antara beliau dan pemandu professional ialah sekitar 0.2 saat. Semakin banyak tukaran gear dilakukan semakin jauh jarak beliau dengan pemandu professional lain.
Penggunaan kereta dengan kotak gear DAT menghilangkan perbezaan masa tersebut jadi jarak antara beliau dan pemandu professional berjaya dikurangkan. Best kan macam ni? dah kira macam pakai cheat code la pulak.
Toyota berharap DAT akan membantu lebih ramai peminat menyertai sukan perlumbaan. Bayangkan jika ia mampu membantu Akio Toyoda yang sudah biasa berlumba mencatat masa yang lebih baik sudah tentu ia boleh membantu pemandu amatur lain.
Tidak penambahan kuasa pada enjin GR Corolla ini tapi torknya telah ditingakatkan kepada 399 Nm berbanding 370 Nm sebelum ini. Bahagian hadapan turut dinaik taraf dengan gril hadapan baharu dan bukaan khusus untuk menyejukkan brek. Penyejuk ATF memang dipasang untuk model auto ini dan terdapat juga pilihan radiator tambahan untuk yang berminat.