TOYOTA GR COROLLA, BUAT ANDA KETAWA MENGILAI
Walaupun nama Corolla dikaitkan sebagai sebuah kereta rasmi tahan lasak bagi kegunaan emak untuk ke pasar atau ayah yang bekerja di pejabat, namun nama Corolla ada sejarah yang panjang dalam sukan permotoran.
Pada tahun 1972, Toyota mula menggunakan model Corolla dengan enjin 1600cc DOHC, sistem karburetor berkembar dan 8 injap bagi menghasilkan 125 kuasa kuda dan 147Nm tork bagi tujuan perlumbaan.
Pendek kata apa sahaja teknologi yang ada pada Toyota pada ketika itu akan disumbat pada jentera perlumbaan mereka sama seperti GR Corolla yang dijual dengan harga RM 355,000 hari ini. Namun berbeza dengan Corolla biasa, varian GR akan dipasang di GR Factory Motomachi.
Di sini “white body” GR Corolla akan menerima kimpalan spot tambahan sebanyak 349 poin serta perekat tambahan sebanyak 9 kaki labih banyak pada floorplans, rear wheel house dan bahagian cesi lantai. Semua ini ditambah bagi menjadikan cesi GR Corolla lebih tegar berbanding Corolla biasa.
Jeriji depan GR Corolla menerima rekaan Matrix Front Grille untuk ambilan udara maksimum untuk sejukan, Side Air Ducts yang bertindak mengurangkan rintangan udara di bahagian depan, dan aliran udara tadi akan disingkirkan melalui Side Aie Vents.
Untuk mengurangkan berat, hud enjin dihasilkan daripada aluminium dengan sepasang hood vent bagi menyingkirkan udara panas dan mengurangkan tekanan dalam ruang enjin. Toyota juga memasang angkup brek dengan 4 piston di depan dan 2 piston pada brek belakang bagi prestasi brek maksimum.
Sayangnya rim aloi 18 inci dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport 5 bersaiz 235/40, bukannya Pilot Sport 4S. Bahagian bumbung pula dihasilkan daripada gentian karbon bagi mengurangkan berat dan fender serta pintu turut dihasilkan daripada aluminium untuk tujuan yang sama.
Malah selepas mengetuk pintu kargo belakang, penulis percaya ia turut dihasilkan daripada komposit plastik. Rekaan ekzos pula terdiri daripada satu ekzos berbentuk oval dan diapit dengan 2 ekzos bulat di kiri dan kanan bagi mengurangkan backpressure daripada enjin
GR Corolla juga diubah dari segi saiz track width di bahagian belakang, dilebarkan daripada 1544mm kepada 1620mm. Keadaan ini membenarkan jurutera memanjangkan lengan double wishbone dan memasang tayar yang lebih lebar berbanding dengan varian biasa untuk kestabilan ketika mengambil selekoh
Bagi menutup kelebaran tayar ini, Toyota perlu memasang ovefender cover di bahagian perumah tayar belakang. Bateri kereta juga diubah dari bahagian depan ke ruang kargo belakang untuk mengimbangkan berat.
Tapi pada masa yang sama ia menyebabkan ruang kargo menjadi kecil, sekitar 213 liter sahaja dan boleh dibesarkan dengan melipat kusyen di bahagian belakang menjadi 1052 liter. Ruang enjin depan pula memuatkan enjin 1600cc 3 silinder G16E-GTS dengan turbo
Ia menjana sekitar 300 kuasa kuda dan 370Nm tork atau 100 kuasa kuda per liter lantas menjadikannya sebagai enjin 1600cc paling berkuasa. Blok aluminium dihasilkan dengan kaedah open deck untuk sejukan maksimum manakala piston eutatic campuran silikon digunakan.
Untuk mengelakkan masalah ketukan, terdapat 3 semburan minyak pelincir di bawah piston dan injap pula diisi dengan sodium. 4 pengimbang berat digunakan untuk menghapuskan masalah gegaran daripada memasuki kabin
Aci sesondol dibuat dengan bahagian tengah adalah kosong (hollow) untuk menjadikan enjin ini responsif dan sistem VVTi-W mampu mengubah pemasaan enjin sehingga 70 darjah bagi memaksa enjin bekerja dalam kitaran Atkinson untuk menjimatkan bahan api
Rod penyambung pula dihasilkan dengan kaedah tempaan dan enjin ini menerima sistem suntikan berganda D4S untuk menyesuaikan dengan semua operasi enjin. Hanya gear manual 6 kelajuan ditawarkan lengkap dengan ciri intelligent Manual Transmission, meniru kaedah heel & toe yang biasa dibuat oleh pemandu professional
Rekaan dalaman terutama penggunaan semula papan pemuka Corolla biasa menjadikan GR Corolla terlalu konservatif berbanding dengan rekaan luar yang garang. Namun ia diserikan dengan jahitan benang merah pada stering, tombol gear, brek tangan dan logo GR yang disemat dan tombol gear
Kusyen semi bucket yang diambil terus dari GR Yaris ini cukup selesa untuk perjalanan jarak jauh, menawarkan ketebalan span yang lebib baik dari Honda Type R. Kontur rekaan pada bahagin belakang juga adalah sesuai untuk ketinggian badan orang Asia, tidak menyebabkan siku, lutut dan bahu menjadi lenguh.
Elemen moden yang lain boleh dijumpai termasuklah skrin multimedia 9 inci lengkap dengan android Auto & Apple Car Play tanpa wayar, 6 pembesar suara , Head Up Display dan meter digital sebesar 12 inci.
Jarak antara roda ditetapkan pada 2640mm iaitu 60mm lebih pendek berbanding dengan Corolla sedan menjadikan ruang belakang tidak terasa luas seperti Honda Civic Type R namun masih mampu memuatkan 3 penumpang di belakang. Selain poin pengecas USB, kusyen belakang juga diberikan perehat tangan di bahagian tengah
Berikut ialah pemerhatian penulis selepas beberapa hari memandu Toyota GR Corolla:
1. Pecutan 0-100km/jam boleh dibuat dalam masa 5.3 saat, 0.02 saat lagi pantas dari Honda Civic Type R. Ada juga laporan menyatakan GR Corolla mampu memecut dalam masa 5 saat, bergantung pada permukaan jalan.
Ini adalah kelebihan sistem AWD GR-Four yang menawarkan lebih banyak cengkaman berbanding FWDNamun halaju tertinggi hanyalah 230km/jam (telah diuji) berbanding dengan Civic Type R yang mencapai 275km/jam
2. Penggunaan bahan api adalah sekitar 11.3km bagi setiap liter. Ingat, GR Corolla hanya menggunakan petrol premium RON97 sahaja berbanding dengan Civic Type R yang menggunakan RON95
3. Steering feel agak ringan jika anda memandu dalam mode Normal atau ECO. Hanya dalam mode Sport barulah stering terasa agak keras dan padat, tetapi masalahnya anda tidak menggunakan mode ini setiap masa.
Stering juga tidak boleh ditetapkan oleh pemandu kerana tiada mode individu. Diameter genggaman stering juga adalah kecil, sekiranya dibesarkan sedikit akan menjadi lebih baik
4. Operasi penukaran gear 1, 2, 3 dan 4 terasa sangat memuaskan pada padat. Hanya dari gear 4 ke 5 barulah anda terasa penukaran gear adalah longgar dan slot untuk masuk ke gear 5 tidak cukup “dalam”. Operasi sistem i-MT adalah bagus, tetapi tidak boleh menandingi operasi RevMatch Honda
5. Pedal klac terasa sedikit tinggi sama seperti Civic Type R dengan saiz kaki penulis. Keadaan ini menyebabkan klac terasa tergantung sedikit namun selepas beberapa hari anda akan membiasakan diri dengan pedal klac
6. Operasi brek adalah sangat mencengkam dan memuaskan hati dengan gigitan awal brek sudah cukup meyakinkan. Anda yakin untuk memandu laju dan membrek sebelum selekoh dengan kemas, hanya memerlukan sedikit sentuhan pada pedal brek untuk memperlahankan GR Corolla
7. Suspensi ditala agak keras dan tidak boleh diubah. Ia mungkin sesuai untuk penggunaan di litar atau ketika memandu laju, namun terasa sedikit melantun jika memandu perlahan. Malah kekerasaan ini memberikan kestabilan ketikan GR Corolla mencilok kenderaan lain pada halaju tinggi
8. Sistem pacuan semua roda GR-Four boleh diubah dalam 3 mode samaada 60:40 dalam mode normal, 30:70 untuk sport dan 50:50 untuk litar. Ujian singkat ketika mendaki Genting mendapati sistem GR-Four dan suspensi menghasilkan yaw rate atau kadar perubahan arah kereta di selekoh adalah sangat pantas
Anda boleh memasuki selekoh dengan laju, tayar depan bertindak mengubah arah kereta dan masih ada cengkaman mekanikal yang bagus, manakala tayar belakang melonjakkan GR Corolla keluar dari selekoh dengan laju dengan lebih yakin berbanding dengan Civic Type R
9. Sistem keselamatan aktif seperti brek kecemasan akan sentiasa memantau pemanduan anda manakala sistem Lane Keep Assist, Lane Tracing Assist dan Lane Departure Warning boleh dimatikan. Operasi sistem ACC juga boleh dipuji, membenarkan anda terus menggunakan ACC walaupun semasa gear ditukar.
10. Antara kelemahan GR Corolla selain daripada diameter stering yang kecil termasuklah kualiti video semasa mengundur adalah tidak memuaskan. Ia juga tidak menawarkan ciri amaran titik buta serta tiada amaran lintasan trafik belakang.
Toyota GR Corolla adalah jawapan kepada pembeli yang mahukan Toyota GR Yaris tetapi gagal mendapatkannya disebabkan hanya 20,000 unit sahaja yang dihasilkan. Toyota GR Corolla lebih besar, ada 4 pintu, lebih praktikal dan mampu membuatkan anda mengilai kepuasan selepas memandu GR Corolla