Buletin

TOYOTA GR YARIS TGR ITALY LIMITED EDITION, 51 BUAH SAHAJA!

Toyota Itali mengumumkan penawaran edisi istimewa GR Yaris TGR Italy Limited Edition dan dibuat sebanyak 51 buah sahaja.

Apa kaitannya dengan angka 51? Satu peristiwa 51 tahun lalu bila mana Toyota menjulang kemenangan pertama dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) yang juga musim pertama perlumbaan itu.

Jaluran merah pada kereta mengingatkan kepada kereta rali Toyota Corolla Coupé 1973. Kemenangan pertama Toyota dijulang oleh Walter Boyce dan Doug Woods di Michigan, Amerika Syarikat.

Bukan sahaja grafik badan, rim turut menonjol dalam warna khusus Heritage Gold yang merujuk kepada jentera lumba Corolla.

Lagi ciri khas seperti logo Limited Edition di luar kereta dan nombor siri 1 daripada 51 pada bahagian dalam dan sijil ketulenan.

51 buah yang dikeluarkan hanya ditawarkan dalam versi kotak gear automatik lapan kelajuan atau GR-DAT (Gazoo Racing Direct Automatic Transmission).

Turut dilengkapi Tech Pack dengan penderia parkir anti pelanggaran, Monitor Titik Buta dan Amaran Lintasan Trafik Belakang.

Tayar yang digunakan juga istimewa iaitu Pirelli P Zero TM  Trofeo R semi-slick dan membantu kereta meningkatkan prestasi pecutan, membrek dan di selekoh (masuk, di dalam dan keluar).

Toyota tidak memaklumkan jika ada perubahan dibuat pada nadi kereta.

GR Yaris rupa baharu yang diperkenal pada Januari tampil dengan perubahan pada enjin, penampilan, penyejukan, casis dan bahagian dalam termasuk papan pemuka dan kedudukan kerusi lebih rendah.

Enjin 1.6 liter turbo tiga silinder versi Eropah menghasilkan 280 kuasa kuda (hp) dan daya kilas 390Nm atau peningkatan 20 hp dan 30Nm.

Tidak boleh ditempah di bilik pameran, GR Yaris Limited Edition hanya ditawarkan di dalam laman sesawang Toyota Itali bermula 9 September.

Harga? 67,500 euro (RM325,602). Deposit sebanyak 2,500 euro (RM12,058) diperlukan dan pelanggan boleh memilih pengedar Gazoo Garage yang paling mudah untuk mereka.

Harga tersebut bukan sahaja untuk kereta tetapi peluang menaiki kereta lumba Rally2, dua pas VIP untuk musim TGR Rally 2025, selimut kereta khas dengan nombor siri dan pakaian TGR Itali.

GR Yaris TGR Italy Limited Edition akan diperkenal secara rasmi pada Oktober dan penghantaran dijadual sebelum penghujung tahun.

Google ads
Back to top button