Artikel Pilihan

HONDA BAKAL KEMBALIKAN MODEL S2000. APA YANG KITA TAHU SETAKAT INI.

Bermula sebagai sebuah konsep yang muncul pada tahun 1995, Honda S2000 dilancarkan pada tahun 1999 sebagai sebuah roadster 2 tenpat duduk, enjin depan pacuan belakang dengan enjin 2000cc VTEC sempena ulangtahun Honda yang ke 50. Model terakhir S2000 dikeluarkan dari kilang pada tahun 2009 dan semenjak dari itu Honda tidak lagi menghasilkan pengganti S2000

Namun dalam masa setahun dua ini, beberapa khabar angin, gosip serta lakaran telah tersebar di laman sosial membayangkan Honda bakal menghasilkan kembali kereta sport 2 pintu lagenda ini. Jadi kami senaraikan beberapa maklumat penting berkenaan model ini.

1. Dimensi – menurut Forbes yang mendapat maklumat dari sumber rapat Honda, S2000 generasi kedua akan mengekalkan bentuk yang hampir sama dengan S2000 generasi pertama. Ia memiliki bonet yang panjang, bahagian belakang yang pendek serta ditawarkan dalam versi roadster (tanpa bumbung)

Honda S2000 generasi kedua akan bersaing secara tidak langsung dengan Mazda MX5 versi terbaru jadi pakar automotif meramalkan bentuk dan saiz kedua-dua kereta tidak banyak berbeza. Panjang Honda S2000adalah sekitar 4115mm dengan lebar 1753mm, sedikit lebih panjang dan lebar berbanding Mazda MX5

2. Enjin – apa yang pasti enjin 2200cc F22C tidak akan membuat kemunculan pada model baru dan tugas ini akan digalas oleh enjin K20C 4 silinder 2000cc turbo yang digunakan pada model Civic Type R dan juga Honda Accord USA. Untuk mengekalkan resipi Honda S2000, maka enjin ini mesti dipasang secara menegak untuk menghantar kuasa ke roda belakang

Sebab itu bentuk cesi hampir sama dengan model lama kerana enjin ini akan dipasang di belakang gandar depan bagi memastikan berat kereta berada di bahagian tengah kereta. Khabar angin mengatakan enjin ini ditala untuk menghasilkan sekitar 350 kuasa kuda dan digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan manual atau automatik

Kita juga tidak boleh menolak kemungkinan yang enjin ini akan digandingkan dengan sistem hibrid motor elektrik bagi menghasilkan prestasi yang ditetapkan dan pada masa yang sama masih memenuhi spesfikasi pencemaran asap

3. Berapa harga? – isu dia kita perlu ambil enjin K20C, buat talaan yang lebih sedikit dan pasang secara menegak. Apabila ada perubahan struktur, ia melibatkan kos tambahan bagi memastikan peralatan perkilangan dapat menghasilkan rekabentuk dan kos ini perlu dikira sehingga balik modal (ammortize).

Jadi berdasarkan harga Mazda MX5 di US, Honda S2000 generasi kedua akan dijual dalam julat harga sekitar RM 121,000 ke RM 133,000 bergantung pada spesifikasi tambahan.

4. Cesi – bagi mengekalkan faktor fun to drive, berat Honda S2000 generasi kedua ini mestilah ringan dengan sasaran berat keseluruhan kereta kurang daripada 1300kg termasuklah struktur sokongan cesi pada bahagian lantai platform. Ini boleh dicapai dengan penggunaan aloi aluminium dan karbon pada bahagian cesi.

5. Tarikh Pelancaran? – berdasarkan sumber, Honda merancang untuk memperkenalkan semula model S2000 ini ketika ulang tahun Honda S2000 yang ke 25 iaitu pada tahun 2024. Jadi anda ada masa lagi untuk berangan.

6. Aspek keselamatan – berdasarkan pelancaran Honda Civic Type R Limited Edition pada bulan Februari 2020, besar kemungkinan Honda S2000 akan hadir bersama-sama ciri Honda Sensing yang merangkumi, Sistem brek pra-perlanggaran termasuk sistem amaran, Lane Departure Warning, Lane Keep Assist serta Adaptive Cruise Control

Google ads
Back to top button