Buletin

MAHU SERTAI PERLUMBAAN KE ANGKASA LEPAS, PORSCHE LABUR RM316 JUTA

Pembuat kereta jenama mewah, Porsche mengesahkan penyertaan dalam perlumbaan ke angkasa lepas selepas membuat pelaburan AS$75 juta (RM316 juta) ke atas sebuah syarikat Jerman.

Perkembangan terkini itu sekali gus bakal menjadi pesaing terdekat kepada kapal angkasa lepas Blue Origin, SpaceX dan Virgin Galactic.

Menurut laporan Daily Mail, syarikat roket yang bertapak di Ottobrunn, Isar Aerospace membangunkan dan menguruskan pelancaran kenderaan yang dirancang bagi membawa satelit ke orbit mengelilingi bumi.

Kapal angkasa itu dijadual dilancarkan tahun depan. Isar Aerospace mendakwa kenderaan roket ‘Spectrum’ akan menawarkan harga lebih murah dan pelancaran satelit lebih fleksibel.

Ahli Lembaga Pengarah Porsche, Lutz Meschke berkata, sebagai pelabur yang fokus kepada teknologi pergerakan dan industri, pihaknya yakin akses ke ruang angkasa lepas yang lebih jimat dan fleksibel mampu menjadi pencetus inovasi dalam banyak sektor industri. 

Menerusi Isar Aerospace, Porsche melabur dalam sebuah syarikat yang memiliki kedudukan yang baik untuk memantapkan diri sebagai pengeluar kenderaan pelancaran terkemuka di Eropah. Meschke turut mengakui perkembangan pesat firma roket itu sebagai sangat mengagumkan.

Pembiayaan daripada Porsche akan membolehkan kapal angkasa itu meneroka lebih jauh dari segi pelancaran, pengujian dan infrastruktur pembuatan untuk operasi roket dan komersial automatik.

“Angkasa lepas akan menjadi platform teknologi utama bagi kebanyakan industri di seluruh dunia daripada sektor automotif hingga telekomunikasi,” katanya. – Utusan Malaysia 

Google ads
Back to top button