
MAZDA 323 (FAMILIA), MODEL IKONIK RWD!
Dilancarkan pada Januari 1977, 323 FA4 adalah model hatchback moden pertama Mazda yang mempunyai kesinambungan sehingga Mazda3 pada hari ini.
Model generasi ketiga itu bermula daripada wagon dua pintu Mazda Familia 800 van yang dilancarkan pada 1963.
323 generasi pertama adalah model global yang berjaya untuk Mazda dan berada di pasaran sehingga 1980 sebelum diganti dengan 323 generasi kedua.
Satu ciri menarik 323 generasi pertama ialah jenis pacuan roda belakang. 323 generasi kedua pula lain konfigurasinya dan merupakan hatchback kompak pertama Mazda yang menggunakan enjin dan pacuan depan.
Di Jepun Mazda 323 dikenali sebagai Familia dan GLC (Great Little Car) di Amerika Utara.
323 ditawarkan dalam pelbagai gayaan badan. Ada dua dan tiga pintu termasuk model wagon yang diperkenal pada 1978.
Di peringkat global ada tiga jenis enjin ditawarkan bermula dengan 985cc atau 1,272cc petrol dan disertai 1,415cc petrol pada 1978.
323 juga sangat laris, lebih 890,000 unit terjual dalam tempoh tiga tahun produksi. Pada 1979, 323 diperbaharui dengan lampu petak dan transmisi lima kelajuan manual.
Di United Kingdom, 323 diperkenal pada 1977 dengan beberapa jenis varian seperti 1000 tiga pintu, 1300 tiga pintu, 1300 Deluxe tiga pintu dan 1300 Deluxe lima pintu.
Varian Deluxe istimewa dengan kerusi belakang boleh pisah dan get belakang (tailgate) yang boleh buka dari dalam kereta.
Pada asalnya kesemua model 323 UK dikuasakan enjin 1.3 (1,272cc) dengan transmisi standard empat kelajuan manual atau pilihan tiga kelajuan automatik.
323 pacuan belakang menggunakan stereng tanpa kuasa (biasa pada waktu itu), brek cakera depan dan dram di belakang.
Pada 1979, Mazda 323 SP spesifikasi UK diperkenal dengan enjin baharu 1,415 cc.
Selain 323, pengguna UK turut ditawarkan dengan beberapa lagi model seperti Montrose (626) sedan, 818 sedan, 616 sedan, 929 sedan dan menariknya RX-7 yang baru dilancarkan.
Melangkau sehingga generasi kelapan, keseluruhan siri Familia ditamatkan pada 2003 dan bermula era Mazda3 pula pada awal 2004.
Sekarang kita boleh saksikan Mazda3 yang berseni dan baru-baru ini telah memenangi Anugerah Reka Bentuk Dunia 2020.
Owh! sebelum itu generasi pertama Familia yang dikeluarkan adalah hasil gayaan seorang pemuda dikenali sebagai Giorgetto Giugiaro!
BACA: 3 GENERASI MAZDA RX-7 FB, FC, FD DENGAN ENJIN ROTARY IKONIK
BACA: MAZDA3 MENANG REKA BENTUK DUNIA (WCOTY) 2020!
BACA: TAHUKAH ANDA MAZDA ASALNYA SYKT KAYU GABUS?