Buletin

TAHUKAH ANDA MAZDA ASALNYA SYKT KAYU GABUS?

Semakin hari semakin banyak cerita yang menarik perhatian tentang Mazda. Kisah terbaru ini jarang didengar mengenai asal-usul Mazda. Sebelum Mazda mengeluarkan kereta, syarikat bermula sebagai Toyo Cork Cogyo dengan membekalkan produk kayu gabus.

Mazda satu-satunya syarikat kereta yang bermula sebagai pengeluar kayu gabus. Hiroshima yang merupakan bandar kelahiran Mazda adalah sebab utama gabus tersebut menjadi pemula syarikat.

Pokok kayu gabus mudah didapati sekitar Hiroshima dan industri pembuatan kapal tempatan menggunakan bahan tersebut untuk kapal kayu mereka.

Mazda diasaskan oleh Jujiro Matsuda yang bermula sebagai perantis pembuatan besi. Selepas berjaya dalam kerjaya kejuruteraan di Osaka beliau memulakan syarikat acuan besi sendiri.

Jujiro Matsuda kemudian pulang ke bandar asalnya di Hiroshima dan menyertai syarikat Toyo Cork Kogyo sebagai ahli lembaga pada 1921.

Walaupun mempunyai kepakaran dalam bidang mesin dan kejuruteraan, beliau dengan pantas membuktikan kebolehan yang ada dengan beberapa inovasi seperti pengeluaran papan gabus termampat (pressed).

Jujiro Matsuda dan syarikat juga berjaya membawa produk gabus baharu ke pasaran di antaranya bahan penebat dan pengkusyenan (cushioning). Bermula sebagai ahli lembaga, beliau akhirnya diangkat sebagai presiden syarikat.

Selepas menamakan semula syarikat sebagai Toyo Kogyo pada 1927, beliau menerajui syarikat ke bidang pembuatan mesin dan dari situ tercetusnya pengeluaran lori kecil tiga roda dan menjadi asas kepada Mazda yang kita kenali hari ini.

Pada masa bahagian kejuruteraan syarikat berkembang, Jujiro Matsuda membuat keputusan untuk melepaskan perniagaan kayu gabus kepada sebuah syarikat dalam bidang sama iaitu Uchiyama Manufacturing Corp, di Okayama, Hiroshima. 

Selain mengambil alih kilang pengeluaran gabus dan mesin, Uchiyama meminta Toyo Kogyo untuk melabur dalam perniagaan itu dan kemudian tertubuhnya Toyo Cork.

Jadi ada kena mengena ke lagi Mazda dan kayu gabus sekarang?

Ada, kereta elektrik pertama Mazda iaitu MX-30 menggunakan kayu gabus pada bahagian konsol tengah dan bahagian dalam kemasan pembuka pintu.

Selain itu, penggunaan kayu gabus juga adalah tribut yang bertetapan sempena ulangtahun penubuhan Mazda yang ke-100.

Mazda juga kembali kepada Uchiyama Kogyo bagi mendapatkan bahan tersebut.

Kayu gabus diperolehi dari pokoknya tanpa ia perlu ditebang. Ia adalah lapisan luar pokok dan kulit itu berupaya untuk tumbuh kembali.

Kayu gabus yang digunakan di dalam MX-30 dibalut dengan lapisan dan bahan bermutu supaya tahan lasak dan berkualiti sesuai dengan standard kereta Mazda.

Mazda MX-30 khabarnya akan dipasarkan di dalam negara pada tahun ini. Berapakah pula harganya?

Di United Kingdom model awal MX-30 sebanyak 500 unit sudah boleh ditempah pada harga permulaan £30,495 (RM165,071). 

EV sememangnya tidak murah namun ia ditimbal balik tanpa kos bahan api dan penyelenggaraan rendah.

Google ads
Back to top button