Buletin

MAZDA MX-5 35TH ANNIVERSARY EDITION – 184PS/205NM, CBU JEPUN, 4 UNIT SAHAJA, RM315K!

Bermaz Motor hari ini melancarkan Mazda MX-5 35th Anniversary Edition secara rasmi ke pasaran tempatan.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1989, Mazda MX-5 terus mengekalkan semangat Jinba-Ittai ke dalam semua empat generasinya bermula NA hinggalah ND yang ada di pasaran sekarang.

Bagi meraikan legasi itu, Mazda memperkenalkan model ulang tahun ke-35 dalam jumlah terhad.

Penampilan roadster berkenaan dilihat semakin anggun dengan falsafah rekaan Kodo: Soul of Motion yang tidak ditelan zaman. Bukan sekadar sebuah kereta, jentera itu menjadi simbol kepada usaha Mazda dalam menawarkan pengalaman pemanduan Jinba-Ittai yang sempurna.

MX-5 35th Anniversary Edition tampil istimewa menerusi warna merah (Artisan Red Premium) yang dihasil menggunakan teknologi cat Takuminuri. Cat tiga lapisan itu menyerlahkan garis badan MX-5 yang cukup elegan.

Model dengan bumbung RF itu merupakan unit CBU dari Jepun. Ia dikuasakan oleh enjin aspirasi biasa (NA) bersesaran 2.0 liter yang mampu menjana 184PS pada 7,000rpm dan tork setinggi 205Nm.

Untuk bahagian luaran, jentera berkenaan menerima lencana 35th Anniversary Edition pada fender belakang. Lampu bawah (low beam) kini berbentuk bulat, manakala lampu isyarat membelok berwarna oren apabila diaktifkan.

Gayaan di bahagian belakang disempurnakan lagi dengan sepasang reflector dan lampu kabus. Sementara rim aloi metalik itu pula bersaiz 17 inci.

Penambahbaikan lebih ketara pada bahagian kabin dengan kemasan berwarna coklat terang. Ia melibatkan tempat duduk, bahagian bawah papan pemuka, panel pintu, konsol tengah dan ruang kaki.

Untuk nampak lebih eksklusif, warna merah dikenakan pada corong pendingin hawa dan panel pintu. Logo 35th Anniversary Edition turut dipasang pada karpet lantai dan perehat kepala.

Semua varian Mazda MX5 sekarang iaitu 2.0 MT, 2.0 AT dan 35th Anniversary Edition menerima kluster meter rekaan baharu dengan warna dial yang lebih gelap.

Ia juga didatangkan dengan cermin pandang belakang anti-silau, skrin infotainmen bersaiz 8.8 inci bersama ciri pengecaman suara, port mengecas USB-C dan kamera undur berdefinisi tinggi.

Dari segi keselamatan, MX-5 kini dipasang dengan ciri i-Activsense tambahan Rear Cross Traffic Alert (RCTA).

Varian transmisi manual menampilkan ciri DSC -TRACK (Driving Stability Control Track Mode) dan Asymmetric LSD (Limited Slip Differential) untuk pemanduan yang lebih mengujakan.

Sistem stereng elektronik (EPAS) telah dinaik taraf agar lebih tepat dan tajam. Dengan mengurangkan geseran rak stereng sebanyak 5 peratus, stereng itu berasa lebih responsif dan lancar.

Sudah dibuka untuk tempahan, roadster itu ditawarkan dalam biru kristal, merah, kelabu, putih Mutiara, hitam dan Aero Grey, sama seperti model Mazda2 dan CX-3 tahun 2023.

Harga dan varian MX-5 adalah seperti berikut:

  • MAZDA MX-5 2.0L M/T = RM293,000
  • MAZDA MX-5 2.0L A/T = RM295,000
  • MAZDA MX-5 35TH ANNIVERSARY EDITION = RM315,000

Ia hadir dengan jaminan pengeluar dan penyelenggaraan percuma selama lima tahun.

Anda boleh melihat Mazda MX-5 35th Anniversary Edition secara dekat pada acara Bermaz Auto Showcase, bermula 10-13 April 2025 (Khamis–Ahad) di Oval Concourse, 1 Utama Shopping Centre, dari 10:00am hingga 10:00pm.

GALERI

Google ads
Back to top button