Pandu Uji

MAZDA MIATA MX-5, INI BUKAN KENDERAAN. INI MAINAN ORANG DEWASA

Kalau anda ada masa, cuba masuk ke laman sesawang Mazda dan semak harga Mazda MX-5 RF. Ya kereta sport pacuan belakang ini berharga RM 272,000 dan dengan harga tersebut anda boleh beli 3 unit Alza varian 1.5 AV dan 1 unit Myvi 1.3G. 3 biji MPV dan sebuah Perodua Myvi yang anda boleh beli dengan harga RM 272,000

Kalau diikutkan logik akal seorang manusia yang waras, kita tak akan beli Mazda MX-5 RF ini dan anda akan beli terus Perodua Alza dengan 5 pintu, ruang untuk 7 penumpang, kargo sehingga 500 liter apabila kusyen barisan belakang dilipat dan enjin yang menjimatkan bahan api sehingga 22km per liter petrol

Kalau dibandingkan dari segi ruang sekalipun, Mazda MX-5 akan kalah dengan teruk. Ia hanya datang dengan 2 pintu kecil yang memerlukan anda merangkak keluar seperti hantu Ju-On ketika keluar, kabin yang sempit, ruang kargo 130 liter, gear manual yang menyeksa kaki kiri ketika kesesakan jalan raya dan enjin 2000cc yang memerlukan RON 97

Perodua Alza merupakan MPV yang sangat bagus, memenuhi 99% keperluan pengguna di sini. Buktinya jika anda mula membuat tempahan pada hari ini, tahun depan pun belum tentu dapat disebabkan tempahan yang diterima terlalu banyak

Perodua Alza direka dengan memikirkan kos penggunaan yang bakal ditanggung oleh pengguna, dengan akauntan akan masuk campur setiap kali mesyuarat pembangunan projek berjalan. Sebaliknya Mazda Miata MX-5 dihasilkan apabila hanya jurutera dari semua jabatan berkumpul dan berikrar untuk menghasilkan sebuah kereta sport mampu milik

Konsep yang digunakan oleh MX-5 juga amat mudah, ia mestilah sebuah kereta sport 2 pintu, enjin depan pacuan roda belakang, enjin mestilah menggunakan aspirasi normal dengan 4 silinder supaya mampu milik dan boleh dibuka atap supaya pemandu menikmati perjalanan bagaikan menunggang motosikal

Menjengah di ruang enjin, anda akan mendapati Mazda Miata yang dipandu uji ini dikuasakan dengan enjin 2000cc 4 silinder yang menjana 155 kuasa kuda dan 201Nm tork pada 4600 RPM. Bagi varian terkini, enjin ini telah ditala bagi menjana 181 kuasa kuda dan 205Nm tork pada 4000 RPM

Terdapat satu lagi pilihan enjin iaitu 1500cc 4 silinder yang menghasilkan sekitar 129 kuasa kuda dan mesti ada yang tertanya-tanya samaada kuasa enjin ini cukup ke? Cukup kerana Miata MX-5 1.5 hanya ditawarkan dalam versi softop sahaja dengan berat 961kg sahaja. MX-5 bukanlah fokus kepada kuasa, tapi keseimbangan cesi dan keseronokan.

Unit yang kami pandu uji detang dengan tanda nama RF iaitu Rectractable Fastback, iaitu varian dengan bumbung hardtop, boleh dilipat secara automatik dan boleh dibuka semula. Jika anda rasa ini terlalu kompleks, jangan risau kerana jurutera Mazda masih berjaya mengekalkan formula berat dengan nisbah 50:50 walaupun dipasang dengan hardtop

Cuma berat varian RF meningkat kepada 1137kg berbanding dengan varian softop 1.5 yang hanya 961kg. Angka-angka ini sebenarnya satu obesesi Mazda terhadap pengurusan berat, kerana mereka bersungguh-sungguh untuk menjadikan MX-5 generasi ke empat ND ini ringan seperti generasi pertama NA.

Malah saiz keseluruhan MX-5 ND ini hanyalah 3915mm jika dibandingkan dengan generasi NA 3950mm. Jarak antara roda juga dipanjangkan menjadi 2310mm untuk ruang yang lebih banyak pada penumpang. Ruang kargo belakang juga disediakan cuma terhad pada 130 liter. Tiada bahan penebat bunyi dipasang di bahagian belakang

Untuk menghasilkan karekter pemanduan yang sedap, Mazda MX-5 menggunakan cesi yang agak exotic iaitu backbone cesi. Cesi ini merupakan cesi yang pernah digunakan pada Lotus Elan dan diwarisi oleh MX-5 ND, dipegang dengan suspensi double wishbone pada roda depan dan multilink pada roda belakang

Untuk mengurangkan berat unsprung weight, lengan suspensi depan dan belakang dihasilkan daripada aloi aluminium. Enjin Skyactiv duduk lebih rendah berbanding generasi NC dan masih mengekal konsep Front Mid Ship Engine. Enjin duduk di depan, tapi di belakang gandar depan bagi nisbah berat 50:50 dan roda belakang menerima kuasa enjin.

Ia merupakan formula sejati bagi kereta lumba, kerana sebaik sahaja MX-5 mula memecut weight transfer akan berlaku dari depan ke belakang. Cengkaman tayar belakang bertambah kuat dan pecutannya lebih baik. Tayar depan pula fokus menerima input stering. Jadi ketika di selekoh MX-5 sangat stabil dan meriangkan

Bagi kereta sport pacuan roda depan, ia hanya akan menjadikan kereta ini terdedah kepada understeer jika lebih banyak kuasa diberikan ketika mengambil selekoh. Tayar depan perlu membuat 2 kerja sekaligus dalam satu masa, menerima input stering dan menerima kuasa daripada enjin. Jika cengkaman tidak mencukupi, ia hanya akan terbabas keluar

Cesi yang ringan, stering yang sangat senang memberi tindakbalas, dan enjin yang responsif menjadikan pengalaman memandu MX-5 sangat seronok. Mungkin ia tidak selaju Golf GTi di laluan lurus atau tidak menang jika dibawa bertanding dengan Honda Civic Type-R, tapi dari segi pengalaman pemanduan memang MX-5 akan menang.

Klac yang diberikan juga lembut dan senang untuk dimodulasi walaupun penulis sudah lama tidak memandu kereta dengan gear manual, MX-5 tidak akan menghukum anda dengan mudah. Kedudukan tombol gear adalah sangat natural dengan tangan kiri anda. Proses penukaran gear ibarat satu hadiah untuk anda kerana gear akan masuk dengan mudah dan terasa sangat mekanikal

Pecutan yang dihasilkan adalah sekata dengan kuasa, mungkin terasa hambar di laluan lurus jika anda berlumba dengan kereta turbo. Tapi di laluan berselekoh kuasa yang dihasilkan adalah cukup, lebih dari cukup tanpa anda perlu bergelut dan bersilat dengan kuasa enjin. Kemudian anda terasa lega sewaktu keluar dari selekoh

MX-5 bukan begitu, kuasa yang dihasilkan adalah lancar, sekata dan seimbang namun tidak akan mencetuskan fenomena oversteer dengan mudah melainkan anda melakukan provokasi yang merepek. ya kereta pacuan roda depan mungkin lebih senang untuk dikuasai berbanding dengan kereta sport pacuan roda belakang. Tapi pacuan roda depan menjadikan pengalaman pemanduan cepat memboringkan anda

Bagi model yang kami uji, ia datang lengkap dengan ciri limited slip differential bagi memaksimumkan cengkaman terutama jika anda berhajat membawa kereta sport ini ke Sepang. Bagi kategori sebuah kereta sport, tetapan spring dan penyerap hentak dengan jenama Bilstein masih lagi dalam kategori selesa.

Anda boleh rasa yang penyerap hentak sangat bagus ketika melalui bonggol jalan dan keselesaan ini hanya terjejas jika melalui jalan tidak rata dengan laju. Dalam satu sesi ujian yang dibuat oleh penulis, cesi MX-5 ini sangat senang untuk dikawal meskipun anda memandu dengan agresif di selekoh

Brek yang digunakan akan memastikan MX-5 masuk ke selekoh dengan halaju yang sesuai bila ditekan, sistem suspensi mengawal cesi dengan kemas di selekoh dan tayar Michelin Pilot Sport4 akan mengigit jalan dengan baik.

Jadi anda boleh memotong kereta lain di laluan lurus, brek, masuk selekoh dengan kemas dan memecut keluar dengan mudah terutama di laluan Simpang Pulai ke Cameron Highland. Mungkin anda akan tersenyum puas ketika memandu, ibarat kanak-kanak riang yang baru sahaja mendapat mainan baru.

Dengan berat 1137kg, secara purata setiap tayar menerima beban 284kg menjadikan MX-5 sebagai senjata yang ampuh untuk bermain selekoh. Kuasa enjin mungkij nampak biasa sahaja di atas kertas, tapi gear ratio yang baru telah ditala semula dengan gear 6 adalah pada nisbah 1:1

Ini menjadikan seolah-olah tork 201Nm terasa sampai dan digandakan dengan baik sebelum dihantar ke roda belakang menjadikan MX-5 tidak pernah putus kuasa enjin, bagaikan enjin yang dipasang dengan turbo. Literally.

Jika anda membuka atap MX-5, maka pengalaman pemanduan tadi akan digandakan dengan lebih banyak melalui desiran angin yang menerpa di bahagian muka, suasana yang nyaman pada waktu pagi dan rasa bebas dari ruang kabin yang sempit. Ketika ini anda sudah tidak kisah memandu perlahan kerana perhatian yang anda dapat bagaikan bintang filem.

MX-5 terlalu fokus dengan pengendalian dan cesi backbone yang digunakannya tidak membantu sangat dalam memberikan ruang serta keselesaan. Anda duduk di belakang enjin, di depan tayar belakang, di tepi kotak gear manual dan beberapa inci sahaja di atas permukaan jalan raya.

Tiada glovebox yang disediakan melainkan satu ruang simpanan di belakang kusyen antara pemandu dan penumpang serta 2 tempat meletak botol minuman yang sekiranya digunakan akan menghalang pintu ruang simpanan tadi dibuka. Terdapat satu ruang untuk anda meletak kunci di tepi brek tangan dan satu ruang untuk meletakkan telefon di depan tombol gear.

Ruang adalah komoditi yang mahal untuk MX-5. Butang tekan penghidup, butang i-Stop, Dynamic Stability Control dan Lane Departure Warning disusun dengan kemas di bahagian kanan. Anda boleh terus mematikan fungsi LDW dengan sekali tekan, tanpa perlu meminta Albert Einstein melakukannya untuk anda

Walaupun MX-5 terhad dari segi ruang tapi ia masih menawarkan ciri keselamatan terkini seperti 4 beg udara, sistem amaran titik buta, sistem amaran lintasan belakang, lampu depan LED Adaptif, dan juga kamera undur. Terdapat pembesar suara jenama BOSE ditanam dalam kusyen, dekat dengan telinga anda.

Tapi pada kebanyakan masa penulis lagi suka mendegar deruman mekanikal enjin, deruan angin, getaran pada tombol gear dan bunyi ekzos yang sangat bassy

Jika ditanya pada pandangan penulis, MX-5 bukanlah kereta yang sebenar untuk membawa anda dari poin A ke poin B. Ia adalah kereta mainan yang kita sangat suka sewaktu kita kecil dulu, diberikan enjin dan pengendalian yang jitu supaya kita sampai ke destinasi dengan tersenyum sambil mengeluarkan air mata

Kalau anda kurang setuju mungkin anda boleh bertanya pada Christian Von Koenigsegg kenapa dia masih menyimpan Mazda MX-5 NA, Jay Leno yang juga memiliki Mazda MX-5 dan Kaitlyn Lydell berumur 66 tahun yang telah memandu MX-5 selama 20 tahun dan masih memandu MX-5 setiap hari

Mungkin ini jawapan yang tepat kenapa Mazda MX-5 menggunakan rekaan jeriji bampar seperti muka yang tersenyum, ia menyambut kedatangan anda untuk pengalaman pemanduan bagi menikmati perjalanan, bukan sampai ke destinasi semata-mata

Smile per gallon lebih penting daripada mile per gallon

Google ads
"
"
Back to top button