Buletin

MAZDA PERNAH KITAR SEMULA BAMPAR JADI PEN!

Bercakap tentang alam sekitar dan industri kenderaan, skop yang termasuk dalam bidang tersebut lebih luas berbanding nadi kuasa hibrid dan elektrik.

Pengeluar kereta misalnya mengitar semula komponen dan menggunakannya kembali untuk kereta baharu. Di antara bahan yang boleh diguna semula ialah plastik.

Dalam usaha mengitar semula plastik, Mazda sudah melakukannya lebih dari tiga dekad dan pengeluar automotif pertama yang mengitar semula plastik bampar dari kereta yang sudah tamat kitaran penggunaan.

Sejak 1992 Mazda telah berjaya mengitar semula kira-kira 1,280,000 bampar dari pasaran Jepun sahaja. 

Jumlah itu jika dikumpul akan memenuhi tiga kali saiz Albert Hall di London dan jika disusun jaraknya ialah dari London hingga ke Moscow.

Penyelidikan Mazda dalam bidang kitar semula plastik telah berlangsung sejak penghujung 80an lagi.

Menyedari keperluan untuk mengitar semula plastik, Mazda adalah pengeluar automotif pertama yang mengitar semula bampar terpakai pada 1992.

Apakah yang dibuat dengan plastik bampar itu? Jadikan semula sebagai bampar? Tidak.

Menariknya pada peringkat awal bampar digunakan untuk menghasilkan pen dan komponen automotif yang sukar dilihat seperti hadangan bawah (undertray).

Proses mengitar semula komponen sebenarnya tidak mudah walaupun dari plastik kepada plastik.

Masalah bampar berusia lebih sepuluh tahun ialah perbezaan lekatan cat (adhesive) dan komposisi plastik.

Manakala satu daripada halangan terbesar bagi mengitar semula bampar lama ialah proses penyingkiran cat yang tidak efisien.

Pada 2001, Mazda berjaya memperbaiki proses tersebut seterusnya membolehkan plastik digunakan untuk mengukuhkan bampar baharu.

Pada 2007, Mazda berjaya menyempurnakan lagi proses dengan penyingkiran 99.9 peratus cat.

Kejayaan itu membuka jalan dalam membangunkan proses bagi menggunakan plastik kitar semula untuk mengeluarkan bampar baharu.

Dari situ Mazda berjaya membangunkan teknologi kitar semula pertama di dunia pada 2011 yang membolehkan bampar dari kenderaan tamat kitaran hayat diguna semula.

Apa yang Mazda buat ialah menukar bampar tersebut kepada resin plastik dengan kualiti yang berpadanan untuk digunakan di dalam bampar baharu.

Model pertama yang merasmikan bahan tersebut ialah MPV Mazda Biante.

Seterusnya adalah sejarah di mana plastik kitar semula digunakan secara meluas di dalam model-model baharu Mazda dengan yang terkini di dalam MX-30.

Google ads
Back to top button