Buletin

MAZDA3 2023 KINI LEBIH POWER, EFISYEN

Mazda baru-baru ini mengumumkan kemas kini dan beberapa penambahbaikan pada model Mazda3 2023.

Bermula di bawah hud, enjin Skyactiv-G 2.5 liter aspirasi biasa kini mampu menghasilkan kuasa 191hp dan tork 252Nm). Ini merupakan peningkatan sebanyak 5hp dan Mazda menyatakan untuk prestasi yang lebih baik itu tidak memerlukan petrol premium.

Enjin Skyactiv-G 2.5 liter dilengkapi teknologi penyahaktifan silinder yang dikemas kini untuk menjadi lebih cekap dalam keadaan operasi tertentu. Jentera tersebut boleh menawarkan penggunaan bahan api sekitar 8.4 l/100km untuk bandar, 6.3 l/100km (lebuh raya) dan 7.5 l/100km jika digabungkan kedua-duanya.

Model entry-level Mazda3 2.0 Sedan nampaknya telah digugurkan, tetapi Mazda tidak memberikan perincian tentang hal tersebut. Model yang ditawarkan pada harga bermula RM143,000 di Malaysia itu menggunakan enjin Skyactiv-G 2.0 liter berkuasa 155hp dan tork 203Nm.

Kini, model entry-level ialah Mazda3 2.5 S, yang bermula pada pada harga AS$22,550 (RM100,843) di pasaran Amerika untuk Sedan dan AS$23,550 (RM105,315) untuk Hatchback. Itu adalah peningkatan sebanyak AS$450 (RM2,012) pada kedua-dua model. Ini juga bermakna Mazda3 2023 mengalami peningkatan harga sebanyak AS$1,400 (RM6,260) berbanding tahun lepas. Tetapi pembeli akan menerima enjin asas yang jauh lebih berkuasa.

Untuk varian lain, Mazda3 2.5 S Carbon Edition kini ditawarkan dengan sistem pacuan semua roda. Model ini bermula pada harga AS$27,200 (RM121,638). Ia hadir dengan warna luaran kelabu (Polimetal Grey) dengan rim aloi 18-inci dan perumah cermin sisi berwarna hitam berkilat. Kemas kini lain termasuklah tempat duduk dibalut kulit berwarna merah dan sistem audio premium Bose dengan 12 unit pembesar suara.

Mazda3 2.5 S Premium juga telah dirombak kerana model yang dilengkapi transmisi automatik enam kelajuan itu didatangkan secara standard dengan pacuan semua roda. Pacuan roda hadapan dan manual enam kelajuan masih ada untuk varian Mazda3 2.5 S Premium Hatchback.

Mazda3 2.5 Turbo kini boleh didapati secara eksklusif sebagai Hatchback. Model berorientasikan prestasi dijana enjin Skyactiv-G 2.5 Turbo menghasilkan kuasa 250hp dan tork 433Nm jika menggunakan bahan api premium.

Mazda3 Hatchback 2023 dijadual tiba di pengedar AS pada musim luruh ini, manakala Sedan akan menyusul pada musim sejuk.

GALERI:

Google ads
Back to top button