Buletin

MAZDA3 2024 HADIR DENGAN PENAMBAHAN TEKNOLOGI BAHARU, HARGA BERMULA RM77K

Mazda3 generasi keempat akhirnya mendapat kemas kini baharu selepas diperkenalkan pada penghujung 2018.

Berbeza dengan pesaing mereka, Mazda biasanya tidak melakukan perubahan ketara dan ia boleh dilihat pada lampiran imej.

Bakal dilancarkan di Jepun, duo hatchback serta sedan kompak didatangkan dengan warna baharu serta beberapa penambahan teknologi di dalam kabin.

Mazda3 2024 spesifikasi JDM kini boleh dimiliki dengan warna Ceramic Metallic dan paparan 10.25-inci untuk infotainment, lebih besar sedikit berbanding versi terdahulu, 8.8-inci selain disertakan port USB-C.

Di samping itu, Mazda menambah baik sistem keselamatan sedia ada yang terdiri daripada fungsi Inattentive Warning, pengesan halangan tambahan dan pejalan kaki.

Lebih menarik, enjin Mazda3 boleh dihidupkan melalui aplikasi MyMazda, sama seperti Mazda CX-60 meskipun sistem itu hanya berfungsi bagi transmisi automatik.

Selain itu, perisian telefon pintar anda juga boleh digunakan untuk menerima penggera dalam masa nyata apabila terdapat pemandu lain melebihi kelajuan telah ditetapkan.

Turut disertakan adalah Mazda My Car Care, didatangkan sebagai standard (kecuali model SKYACTIV-G 1.5), bagi memudahkan pengesanan dibuat sekiranya kereta milik pengguna dicuri.

Di Jepun, Mazda3 2024 mula dijual pada awal Jun dengan tanda harga AS$17,500 hingga hampir AS$30,000 (RM77,131 – RM132,225).

Google ads
Back to top button