
3 SEBAB KENAPA SKRIN MULTIMEDIA DALAM KERETA MAZDA SEMUA BERSAIZ KECIL
Setiap kali penulis menaikkan hantaran berkenaan dengan kenderaan Mazda, antara komen pertama yang akan dilontarkan oleh pembaca ialah saiz skrin multimedia yang digunakan oleh kenderaan Mazda yang bersaiz kecil. Tambahan pula skrin Mazda ini tidak boleh digunakan sebagai skrin sesentuh ketika kereta dipandu
Untuk pandu uji yang terbaru, penulis memandu uji Mazda CX-9 Ignite Edition yang dipasang dengan Mazda MZD Connect Infotainment System dengan skrin sebesar 9 inci sahaja, sangat kecil jika dibandingkan dengan SUV yang lain. Malah kedudukan skrin multimedia jauh ke tengah papan pemuka dan sukar untuk dioperasikan dengan menggunakan skrin sesentuh menjadikannya kuran ergonomik
Pertama, rekaan sebegini sebenarnya memang disengajakan bagi menghindarkan pemandu daripada menggunakan skrin sesentuh ketika kereta sedang berjalan. Ketika kereta sedang dipandu, pemandu ata penumpang hanya boleh mengakses atau menggunakan sistem multimedia dengan menggunakan butang MZD i-Connect yang diposisikan di belakang tombol gear di konsol tengah

Rekaan butang rotari yang besar dengan bunyi klik ini memang sangat intuitif, membenarkan pemandu memilih menu mlutimedia untuk digunakan tanpa perlu melihat pada skrin. Ketika memandu Mazda memang memaksa mata kita untuk fokus di atas jalan raya. Selain daripada butang arahan, terdapat satu lagi tombol untuk mengawal kekuatan bunyi pembesar suara
Sebab kedua ialah butang rotari arahan ini selain daripada boleh dipulas, ia boleh ditekan untuk mengesahkan arahan, ditolak ke kiri, kanan, atas dan bawah seperti menggunakan joystick. Kalau anda biasa menggunakan telefon Nokia 3310 satu ketika dulu untuk menaip SMS sambil menutup mata, begitulah perasaan bila anda menggunakan sistem MZD i-Connect ini
Sebab ke tiga ialah jurutera mendapati saiz skrin yang besar, berwarna warni dan menggunakan teknologi digital siap dengan animasi sebenarnya merupakan satu gangguan atau NOISE kepada mata pemandu ketika memandu. Noise ini akan menyebabkan mata pemandu menjadi kurang fokus pada jalan raya dan sibuk untuk melihat meter dan juga skrin

Jadi skrin multimedia dan skrin meter utama akan dikecilkan, diberi warna yang monotone (hitam dan putih) dan kurang menggunakan warna yang terang untuk membantu memberikan fokus pada pemandu. Malah Mazda CX-8 yang menggunakan meter digital akan kelihatan sama seperti meter analog mekanikal disebabkan falsafah ini
Apa yang dibuat oleh Mazda melalui meter analog atau skrin multimedia yang kecil ialah untuk mengurangkan kemalangan disebabkan kelalaian pemandu. Untuk memberikan fokus tambahan, terdapat satu lagi Head up Display yang akan dipancarkan terus pada cermin depan tanpa pemnadu mengalihkan pandangan dari jalanraya


