Artikel Pilihan

PERANG SEGMEN C: CIVIC VS ALTIS VS MAZDA 3

Segmen C terutama sedan nampak kelihatan agak sunyi pada tahun 2019 kecuali dengan pelancaran model naiktraf Hyundai Elantra hujung tahun lepas. Namun versi turbo tidak mendarat di Malaysia menjadikan segmen C sedikit sunyi. Kia Cerato versi serba baru pun masih lagi dilancarkan walaupun terdapat kelibat Cerato kelihatan diuji dan merayau-rayau di Kuala Lumpur. Bagi versi premium Mercedes Benz A200 pula berada pada julat harga yang melebihi kemampuan rakyat biasa kecuali anda sorang usahawan menjual kad pengenalan palsu yang berjaya.

Apa yang tinggal ialah sedan segmen C didomonasi oleh jenama Jepun seperti Toyota Altis, Honda Civic dan juga Mazda 3. Elantra versi naiktaraf tidak menawarkan ciri AEB dalam sistem keselematan jadi saya mengambil keputusan untuk menggugurkan nama Elantra pada artikel perbandingan kali ini. Mazda 3 yang baru dilancarkan merupakan model serba baru, begitu juga Toyota Altis yang dibina dari platform serba baru TNGA. Civic pada kali ini merupakan model facelift namun ia lebih menumpukan pada ciri keselamatan iaitu Honda Sensing

Rekabentuk

Civic FC direka oleh pasukan rekaan Honda yang berpangkalan di Amerika Utara yang membawa rekaan “fastback” kepada Civic generasi ke-10s ini. Rekaan “fastback” menampilkan garisan tunggal bermula dari bumbung kereta dan berakhir di bahagian belakang seperti lampu. Selain nampak lebih agresif dan sporti, rekaan sebegini mempunyai kelebihan dari segi aerodinamik. Bahagian depannya menampilkan rekaan grill “Flying H” yang diapit dengan lampu teknologi LED (bagi varian 1.5 (TCP).Rekaan ini nampak klasik, sporty dan elegan.

Civic ini datang dengan dimensi 4648mm panjang, 1799mm lebar dan  ketinggian 1416mm.

Altis pula mengetengahkan idea rekaan Shooting Robust bagi rekabentuk terbaru Altis. Ia tampil dengan garisan yang lebih agresif pada bampar depan, gril depan, lampu depan dan juga belakang dengan beberapa ciri yang memiliki persamaan dengan Camry. Pada hemat penulis rekaan ini nampak lebih segar dan dinamik berbanding rekaan lama yang lebih sesuai untuk cikgu-cikgu yang bakal pencen. Altis juga buat pertama kali tampil dengan panjang 4640mm, lebar 1780mm dan tinggi 1435mm

Mazda pula mengetengahkan idea Less Is More dalam konsep rekaan Mazda 3 terbaru dan digandingkan dengan falsafah Soul Of Motion. Berbanding dengan Civic dan Altis yang menggunakan garis tajam dan melengkung untuk membentuk personaliti, Mazda 3 tampil dengan pendekatan permukaan dan refleksi pencahayaan dalam rekebentuk luaran. Jika anda perhatikan Mazda 3 generasi sebeleum ini, pendekatan sebegini menghasilkan rekaan yang lambat dimakan usia

Dari segi saiz Mazda 3 memiliki panjang 4660mm, lebar 1795mm dan tinggi 1440mm

Cesi

Walaupun dilancarkan pada tahun 2016, Civic telah menggunakan cesi serba baru yang dinamakan Compact Global Platform dengan menggunakan besi keluli yang lebih kuat tetapi lebih ringan berbanding dengan model sebelumnya. Ciri NVH dipertingkatkan oleh Honda dengan menggunakan getah bush suspensi yang diisi dengan cecair hidraulik. Bagi meningkatkan lagi pengendalian, pusat graviti cesi ini telah direndahkan lagi sebanyak 15mm.

Bagi mengekalkan legasi Civic, cesi ini menggunakan suspensi Topang McPherson pada roda depan dan suspensi bebas Multi-Link pada roda belakang

Altis pula tampil dengan menggunakan cesi Toyota New Global Architecture C Platform namun ia masih lagi dikongsi oleh CHR, Prius dan juga Lexus UX. Matlamat Toyota dalam platform serba baru ini ialah meningkatkan ketegaran cesi, pusat graviti yang lebih rendah, lebih stabil dan pengendalian yang lebih mantap. Maka tidak hairanlah Altis diberikan suspensi Double Wishbone pada roda belakang.

Mazda pula menawarkan teknologi SkyActive Body dengan memberi rekabentuk cincin bagi meningkatkan ketegaran cesi. Bersama-sama dengan teknologi keluli kekuatan tinggi iaitu 1310 Mpa, aliran gerakan tenaga dari cesi depan ke belakang dikurangkan sehingga 30%. Bagi meningkatkan ciri NVH kereta,getah bush yang dipasang direka agar bebrbentuk sfera. Dengan cesi yang tegar dan bagi meningkatkan NVH, Mazda mendakwa suspensi Torsion beam sudah memadai untuk Mazda 3.

Ok jangan berdebat dengan saya berkenaan torsion beam ini.

Tawaran enjin dan transmisi

Seperti biasa terdapat 2 pilihan enjin untuk Civic samaada dari enjin R18A 1800cc unit i-VTEC yang sudah lama tapi masih lagi gagah untuk memacu Civic ke hadapan dengan kuasa 140 kuasa kuda. Untuk lebih kuasa, Honda menawarkan pilihan enjin 1500cc turbo L15B7 dengan kuasa 171 kuasa kuda. Kedua dua enjin akan dipadankan dengan transmsi CVT G-Design Earth Dream Technology yang dipasang sendiri oleh Honda.

Buat masa sekarang terdapat beberapa pilihan enjin yang mungkin ditawarkan oleh Toyota untuk model Altis ini samaada enjin 1800cc ataupun 2000cc. Seperti biasa teknologi dual-VVTi akan diberikan samaada enjin 2ZR-FAE ataupun 2ZR-FXE yang berupaya untuk beroperasi dengan kitaran enjin Atkinson. Sama seperti enjin 1800cc, enjin 2000cc juga terdapat dalam 2 varian yang mungkin ditawarkan samaada 3ZR-FE ataupun 3ZR-FAE dengan teknologi Valvematic.

L15B7 1500cc Turbo

Namun besar kemungkinan kita hanya akan menerima enjin 1800cc sahaja. Kesemua varian akan menggunakan transmisi Super CVT-i yang dikeluarkan oleh Aisin.

Mazda pula menawarkan 2 pilihan enjin pada Mazda 3 iaitu enjin 1500cc dan juga 2000cc dengan teknologi SkyActive. Enjin 1500cc teknologi pancitan bahan api terus ini menawarkan 118 kuasa kuda dan enjin 2000cc menawarkan 162 kuasa kuda. Berbeza dengan Honda dan Toyota, Mazda 3 menggunakan transmisi 6 kelajuan SkyActive Drive bagi menawarkan kualiti pemanduan yang lebih baik dan mengujakan.

Safety package

Honda Sensing Technology merupakan satu pakej keselamatan yang merangkumi Collision Mitigation Braking System (AEB), Adaptive Cruise Control with Low Speed Follow, Lane Keeping Assist System, Lane Departure Warning dan juga Auto High Beam. Buat masa ini kami tidak dapat mengesahkan ciri ini hanya ditawarkan pada varian premium sahaja ataupun pada semua varian.

Altis pula menawarkan Toyota Safety Sense untuk kekal bersaing dengan Civic dan Mazda. Ia menawarkan ciri seperti Pre-Collision System with Pedestrian Detection, Lane Departure Alert, Automatic High Beam, Dynamic Radar Cruise Control, Road Sign Assist, dan juga Lane Tracing Assist.

Mazda pula menawarkan pakej i-Active Sense Safety yang merangkumi Adaptive Front Light System, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Driver Attention Alert, High Beam Control, Lane Departure Warning System, Lane Keeping Assist, Smart Brake Support Front And Rear (AEB), dan juga Mazda Radar Cruise Control.

Ciri menarik pada setiap model

Honda menawarkan enjin berkuasa turbo yang paling berkuasa di dalam kelasnya dan dipakejkan dengan rekaan yang masih boleh diterima. Rekaan di bahagian dalam Civic juga nampak lebih sporti dan ranggi ditambah pula dengan kusyen yang sedikit rendah menjadikan pemanduan di selekoh lebih menyeronokkan.

Altis pula kekal sebagai satu produk daripada Toyota yang kalis peluru, lasak dan susah untuk meragam. Cubaan berani Toyota dengan menggunakan cesi serba baru serta suspensi Double Wishbone wajar dipuji membuktikan Toyota mendengar kehendak dan keluhan pengguna sebelum ini. Namun dari segi NVH ia masih belum lagi dapat dibuktikan

Generated by pixel @ 2019-08-21T07:32:24.032459

Tidak dinafikan Mazda 3 merupaka sedan yang paling segak di dalam kelasnya walaupun rekaannya nampak elegan dan tidak agresif. Walau seribu alasan sekalipun, penulis tidak boleh memafkan Mazda kerana menukar geometri suspensi daripada Multi-Link kepada Torsion Beam kerana ia ibarat mengundur 3 langkah ke depan. Rekaan kabin pada penulis walaupun nampak kemas dan elegan namun ia menjadi terlalu ringkas dan membosankan.

Harga

Harga Civic facelift di Thailand bermula dari RM119,700 untuk varian 1800cc paling rendah sehingga 151,186 untuk varian 1500cc turbo premium. Namun harga untuk pasaran Malaysia mungkin berbeza kerana Civic dipasang di Malaysia. Altis pula akan datang dengan dua varian iaitu enjin 1.8 E pada harga RM 128,888 dan juga 1.8 G pada harga RM 136,888 dan pada hemat penulis kedua dua varian besar kemungkinan akan dipasar di kilang Toyota Bukit Raja.

Mazda 3 pula dijual pada harga yang lebih mahal berbanding dengan Civic dan Altis memandangkan model ini diimport secara penuh (Complete Built Unit) daripada Jepun. Mazda menawarkan 5 varian iaitu 2 varian hatchback dan 3 varian sedan dengan pilihan enjun samaada 1500cc ataupun 2000cc. Varian paling murah adalah sedan atau hatchback dengan enjin 1500cc yang dijual pada harga RM 139,620 dan varian paling mahal ialah sedan 2000cc pada harga RM 160,059.

Sekiranya anda sedang mencari sedan segmen C, adakah anda berminat dengan ketiga-tiga model ini ataupun anda menunggu Kia Cerato dilancarkan? Atau anda menunggu Proton X50?

Tags
Google ads
Back to top button