Buletin

PORSCHE PANAMERA 10 YEARS EDITION, DAH 1 DEKAD RUPANYA

Model penumpang empat pintu Porsche bukan bermula dengan Panamera. Porsche pernah tampil dengan 989 yang berasal daripada 928 dan dibangunkan di antara tahun 1989 dan 1991.

Projek pembangunan ini dihentikan sama sekali pada Januari 1991 disebabkan beberapa faktor ekonomi. Jika disoroti sejarah, perjalanan model Porsche dengan empat penumpang sebenarnya lebih lama.

Pada tahun 1953 Porsche pernah membina Type 530 yang hanya setakat prototaip. Berpuluh tahun kemudian barulah prototaip 989 dikeluarkan dan sekali lagi dibatalkan.

Cita-cita itu tidak dimatikan sama sekali sehinggalah Porsche benar-benar serius pada permulaan abad ini bagi membangunkan kereta penumpang empat pintu hatchback.

Dari situ lahirlah Panamera yang dilancarkan dengan gah di Pameran Kenderaan Antarabangsa Shanghai pada April 2009.

Panamera bukan setakat tampil dengan empat pintu malah enjinnya berada di depan, suatu perubahan yang lari dari norma Porsche.

Kini Panamera sudah pun memasuki tahun kesepuluh dengan dua generasi dan pelbagai varian termasuk plug-in hibrid.

Adakah ia keputusan yang betul? Setakat ini sudah lebih 250,000 unit Panamera terjual di serata dunia.

Panamera 10 Years Edition adalah model istimewa sempena sepuluh tahun model ikonik itu.

Ia didatangkan dengan beberapa kelengkapan istimewa seperti lampu utama LED matrix dengan PDLS Plus, Bantuan Penukaran Laluan dan Bantuan Pengekalan Laluan dengan pengecaman papan isyarat trafik dan Bantuan Parkir dengan kamera undur.

Turut dilengkapi ialah bumbung panoramik, cermin privasi, kerusi dengan fungsi pemanas, logo Porsche pada perehat kepala, pintu tutup perlahan, radio digital dan sistem BOSE® Surround Sound.

Pemanduan Panamera ini juga terbaik dengan suspensi udara three-chamber dengan Porsche Active Suspension Management (PASM) dan Power Steering Plus.

Varian hibrid pula dilengkapi pengecas on-board dengan kapasiti pengecasan 7.2 kW berbanding 3.6 kW untuk versi standard.

Panamera 4 10 Years Edition ditawarkan dalam empat varian iaitu 2.9-litre biturbo berkuasa 330 PS yang berharga EUR114,532 (RM525,962) di Jerman. Varian Sport Turismo dengan enjin sama pula berharga EUR116,912 (RM536,891). 

Panamera 4 E-Hybrid pula berharga EUR127,860 (RM587,168) manakala Sport Turismo berharga EUR130,121 (RM597,551). Enjin 2.9 liter biturbo dengan motor elektrik 136 PS mempunyai kuasa total 462 PS.

Tempahan sudah pun dibuka dan maaf, setakat ini Panamera 4 10 Years Edition dipasarkan di Eropah dan beberapa negara terpilih dahulu.

BACA: PORSCHE TAYCAN, SEJENIS PORSCHE YANG LAIN MACAM

BACA: PORSCHE MACAN FACELIFT 2019 DILANCARKAN. BERMULA RM455K

BACA: KENAPA LAMBORGHINI TIADA TRANSMISI MANUAL MACAM PORSCHE?

Google ads
Back to top button