Buletin

PADA 2005, MAZDASPEED ATENZA DIPERKENAL, ENJIN 2.3L TURBO PACUAN AWD

Jenama Mazda semakin hari semakin disegani di negara kita. Mazda bekerjasama dengan Ford bermula dari 1974 dan pada waktu kemuncak iaitu 1995 syarikat Amerika Syarikat itu memiliki 33.4 peratus pegangan.

Ford kemudian mengurangkan pegangan secara beransur bermula dari 2008 sehingga sifar pada 2015. Sejak itu Mazda semakin giat mencari identiti baharu dan hasilnya boleh dilihat pada hari ini.

Teknologi Skyactiv berjaya membawa Mazda ke tahap baharu, jika dulu dibayangi Ford, ia kini berdiri hebat di kalangan jenama utama dunia.

Mazda dengan model prestasi bukan sesuatu yang asing. Mazda tidak mempunyai Skyline atau Supra tetapi ia terkenal dengan RX-3, RX-7, RX-8 dan model evergreen MX-5.

Selain itu ada model Mazda yang tersimpan rapi seperti Mazdaspeed Atenza yang mula dijual di Jepun pada penghujung Ogos 2005.

Keistimewaan model ini terletak pada namanya, Mazdaspeed adalah divisyen permotoran di bawah Mazda dan pertama kali menawarkan model kepada umum pada 2003 iaitu Mazdaspeed Protegé (versi prestasi Mazda 323) yang eksklusif untuk pasaran AS.

Model seterusnya Mazdaspeed MX-5 Miata yang dilancarkan pada tahun 2004 untuk pasaran AS, Australia dan Jepun. 

Model ketiga ialah Mazdaspeed Atenza dan selain Jepun ia turut ditawarkan dibeberapa pasaran terpilih dengan nama yang berbeza-beza. Di Amerika Utara dikenali sebagai Mazdaspeed6 manakala Eropah, Afrika Selatan dan Australia sebagai Mazda6 MPS. 

Istimewa tentang Mazdaspeed Atenza ialah ia menggunakan enjin 2.3L pancitan terus turbo atau MZR 2.3L DISI Turbo. Akronim DISI merujuk kepada Direct Injection Spark Ignition.

Enjin ini mempunyai kuasa 272ps pada 5,500 rpm dan daya kilas maksimum 380Nm pada 3,000 rpm. Di Eropah kuasa enjin diturunkan kepada 260ps manakala Amerika Utara pula lebih tinggi iaitu 277ps sebelum diturunkan kepada 273ps pada 2007.

Lagi keunikan Mazdaspeed Atenza ialah pada sistem pacuan kesemua roda (AWD) dengan teknologi Active Torque Split Control. Teknologi ini membahagikan kuasa di antara roda depan dan belakang mengikut logik elektronik berdasarkan keadaan pemanduan.

Untuk transmisi, tiada padanan gear automatik dan hanya ditawarkan dengan enam kelajuan manual. Tayar yang digunakan pula adalah jenis 215/45R18. Perbezaan kosmetik lain ialah bonet enjin yang berbonjol berbanding berbanding Mazda6 biasa.

Satu kelebihan Mazdaspeed Atenza walaupun model berprestasi ialah pematuhan kepada Cukai Hijau di Jepun. Piawaian ini adalah untuk kenderaan mesra alam dan layak menerima potongan cukai.

Mazdaspeed Atenza diiktiraf sebagai Kenderaan Dengan Emisi Sangat Rendah (SU-LEV) yang mematuhi piawaian pengurangan emisi Jepun 2005 sebanyak 75 peratus.

Pelanggan yang membeli Mazdaspeed Atenza layak menerima pengurangan cukai eksais. Sewaktu dilancarkan, Mazdaspeed Atenza dijual pada harga JPY3,024,000 (termasuk cukai) atau JPY2,880,000 (tanpa cukai).

Setelah model ikonik ini dikeluarkan, Mazdaspeed3 pula menyusul pada tahun 2007 menggunakan enjin sama seperti Mazdaspeed Atenza.

Pasaran tempatan pula kemudian dihadiahkan dengan Mazdaspeed3 generasi kedua pada Mac 2011. Model inilah yang dikenali sebagai Mazda3 MPS dan dijual pada harga RM175,109. Lawannya? Honda Civic Type R, Ford Focus ST dan Renault Megane RS.

BACA: PERANG SEGMEN C: CIVIC VS ALTIS VS MAZDA 3

BACA: MAZDA3 MPS, SEBUAH TYPE R YANG TAK DIDENDANG

BACA: TAHUKAH ANDA JERMAN PASARAN TERBESAR MAZDA DI EROPAH? 17K UNIT JUALAN DALAM 3 BULAN

Kredit foto: Mazda

Google ads
Back to top button