Buletin

MERCEDES-BENZ C 200 AMG LINE KUASA TURBOCAS 204 HP/300NM. HARGA BERMULA RM252,000

Mercedes-Benz Malaysia mengumumkan model sedan C-Class yang diperkemaskan dengan varian baharu Mercedes-Benz C 200 AMG Line.

Model terbaharu ini mendapat sentuhan sporty dan eksklusif seperti penampilan pakej AMG Line.

Ia dilengkapi gril radiator diamond, apron hadapan AMG, ruang kemasukan udara sporty, elemen krom dan apron belakang kelihatan seperti AMG.

Bagi memperkemaskan lagi luaran jentera ini, ia didatangkan rim aloi ringan saiz 18 inci 5-spoke pada keempat-empat tayar.

Bahagian kabin pula, menampilkan kemasan AMG Line, termasuk kulit upholsteri ARTICO, roda stereng pedal shifter tergalvani dan pedal sports AMG.

Model C 200 AMG Line mendapat khidmat enjin baharu empat silinder 2.0 liter turbocas yang menjana kuasa 204 hp dan tork 300 Nm.

Ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam tempoh 7.1 saat malah kelajuan maksimum boleh dicapai sehingga 250 km/j.

Jentera ini memberi penekanan terhadap aspek keselamatan merangkumi Bantuan Brek Aktif, PRE-SAFE, Bantuan Titik Buta, tujuh beg udara, kawalan pelayaran Speedtronic dan brek kecemasan autonomi.

Bagi memastikan pembeli sentiasa dapat berhubung dengan kenderaan mereka, teknologi Mercedes me connect ditawarkan pada model terbaharu ini.

Melalui teknologi ini, pemilik kenderaan dapat menikmati kemudahan seperti sistem panggilan kecemasan, diagnosis kenderaan jarak jauh, kawalan iklim pra-kemasukan, sistem navigasi prediktif dan pengesan lokasi parkir.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Mercedes-Benz Malaysia, Michael Jopp berkata, model C-Class merupakan antara model paling laris malah terjual lebih 20 ribu unit sejak diperkenalkan pada tahun 2014.

Mercedes-Benz C 200 AMG Line dijual pada harga bermula dari RM251,587.39 atas jalan tanpa insurans.

Pembeli juga boleh membeli secara ansuran bulanan serendah RM2,988 melalui program pembiayaan EaseProtect Financing.

Ia turut merangkumi Comprehensive Motor Insurance serta perlindungan tayar dan rim pada tahun pertama.

Google ads
Back to top button