Buletin

MERCEDES-BENZ, ADIDAS JALIN KOLABORASI MELALUI SAMBA OG EKSKLUSIF

Bagi meraikan gabungan dua jenama ikonik yang telah mencorakkan dunia mobiliti dan gaya hidup selama beberapa dekad, Mercedes-Benz dan adidas memperkenalkan edisi khas adidas Samba OG x Mercedes-Benz.

Kasut edisi terhad ini akan mula ditawarkan secara dalam talian serta di butik adidas terpilih bermula 13 Oktober.

Kolaborasi tersebut menjadi langkah awal kepada kerjasama strategik yang lebih besar antara kedua-dua jenama, dengan beberapa projek menarik dijangka diperkenalkan pada masa hadapan.

Pelancaran kasut ini turut mengukuhkan sambutan ulang tahun “140 Years of Innovation” Mercedes-Benz yang dimulakan awal tahun ini menerusi penampilan generasi baharu S-Class.

Pemilihan model Samba bukanlah sesuatu yang kebetulan. Dikenali sebagai antara siluet paling berpengaruh dalam sejarah kasut sukan, adidas Samba telah berkembang daripada kasut bola sepak kepada simbol fesyen jalanan yang merentasi generasi.

Karakternya yang kekal relevan menjadikannya padanan ideal untuk Mercedes-Benz, sebuah jenama yang telah membentuk landskap mobiliti global selama lebih satu abad.

Kedua-dua jenama berkongsi nilai yang hampir serupa iaitu komitmen terhadap inovasi, ketelitian dalam rekaan dan keupayaan menghasilkan produk yang mampu bertahan merentasi zaman.

Jika Mercedes-Benz sinonim dengan kemajuan teknologi automotif dan kemewahan, adidas pula terus menjadi peneraju dalam dunia sukan dan budaya gaya hidup moden.

Melalui adidas Samba OG x Mercedes-Benz, elemen warisan dan kemodenan diterjemahkan dalam satu rekaan yang eksklusif. Bahagian atas kasut menampilkan corak jahitan berlian yang diinspirasikan daripada kemasan dalaman Mercedes-Benz S-Class, sekali gus memberikan sentuhan premium jarang dilihat pada model Samba.

Identiti Mercedes-Benz turut diperkukuhkan menerusi logo bintang tiga penjuru yang menghiasi bahagian lidah kasut.

Model ini hadir dalam tiga pilihan warna monokromatik iaitu Magic Beige, Grey Five dan Black, menampilkan estetika minimalis yang menyerlahkan elemen kemewahan.

Pelancaran kasut tersebut turut bertepatan dengan persinggahan istimewa tiga buah Mercedes-Benz S-Class yang dikenali sebagai “Bertha”, “Carl” dan “Gottlieb” di ibu pejabat global adidas di Herzogenaurach, Jerman.

Ketiga-tiga kenderaan itu sebelum ini telah menempuh perjalanan hampir 65,000 kilometer merentasi enam benua menerusi ekspedisi global “140 Years. 140 Places.” sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Stuttgart bagi menamatkan siri jelajah bersejarah tersebut pada 17 Oktober.

Google ads
Back to top button