Buletin

MITSUBISHI MIRAGE & ATTRAGE 2021 DILANCARKAN DI AS. DYNAMIC SHIELD, 2 WARNA BAHARU, BERMULA RM58K

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) pernah menawarkan model kompak model Mirage dan sedan Attrage ke pasaran tempatan.

Namun, disebabkan oleh permintaan yang kian merudum, MMM akhirnya terpaksa akur untuk mengeluarkan kedua-dua model tersebut daripada penawarannya.

Agak malang kerana pasaran lain seperti Amerika Syarikat (AS) baru sahaja menerima Mirage dan Attrage facelift. Sudah pasti penampilan luarannya jauh lebih cantik berbanding model lama.

Penampilan Mirage dan Attrage diserlahkan oleh fascia Dynamic Shield yang menjadi signatur kepada model-model baharu Mitsubishi. Tidak ketinggalan, lampu utama baharu dan corong pengambilan udara yang lebih sporty.

Perubahan pada bahagian sisi dan belakang bagaimanapun tidak terlalu ketara, walaupun jentera tersebut menerima bampar dan lampu rekaan baru. Bagi menarik minat pembeli, ia juga hadir dengan dua warna baharu iaitu kuning dan putih.

Pelanggan yang inginkan sedikit kelainan boleh memilih Carbonite Edition. Ia dibezakan menerika kemasan-kemasan berwarna merah dan corak gentian karbon.

Masuk ke dalam kabin, pemandu dihidangkan dengan sistem infohibur bersaiz 7-inci bersama ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Bukan itu sahaja, ruang dalaman turut menerima kemasan lembut, perehat tangan baru dan suis tingkap dengan kemasan gentian karbon.

Dari segi keselamatan, Mirage dan Attrage kini dilengkapi sistem mitigasi pelanggaran hadapan dan pengesanan pejalan kaki sebagai ciri standard. Varian tertinggi, SE ditambah dengan lampu tinggi automatik dan sistem Lane Departure Warning.

Kereta tersebut menggunakan khidmat enjin tiga silinder bersesaran 1.2 liter dengan kuasa 78hp dan tork 100Nm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan atau CVT.  

Walaupun kuasa enjin itu langsung tidak mengujakan, namun ia menawarkan penjimatan yang cukup bagus.

Di AS, harganya ialah AS$14,295 (RM58,000) untuk model hatchback dan AS$15,295 (RM62,000) bagi sedan.

GALERI

Google ads
Back to top button