Modifikasi

NAMPAK MACAM DIA, TAPI BUKAN. INI IALAH MITSUBISHI MIRAGE COLT, BUKAN SATRIA

Jika tidak dimaklumkan, belum tentu ada yang boleh menduga yang kereta ini sebenarnya bukan sebuah Satria. Nampak sama, tapi bukan dia.

Kepada yang kurang mengenali, ia adalah Mitsubishi Mirage Colt generasi keempat, yang menjadi asas kepada model Proton  Satria tempatan sebelum ini.

Berapa banyak yang pernah tersesat ke sini?, kurang dipastikan. Rasanya tak banyak mana dan sebiji yang sempat dikesan milik Adib yang menjadi bahan paparan kali ini.

BACA: SATRIA MERAH KUASA EVO!

Dari dibiar mereput tanpa kasih sayang, ia telah dinaik taraf sesuai dengan tugas barunya sebagai atlet sukan pecut separuh masa.

Keseluruhan bahagian luaran telah disalin semula menggunakan kit badan model tertinggi Mirage Cyborg R. Ia boleh dikenalpasti menerusi rekaan bumper depan dengan lampu fog kecil, tambahan lip depan, skirt sisi, spoiler, termasuk posisi nombor pendaftaran belakang pada ruang bumper.

Bahagian hood dilengkapi komponen karbon fiber ala EVO III, sementara telinga sisinya dicapangkan dengan cermin Ganador Aero. Nampak macamana Adib potong bumper ngan lip tu untuk letak paip intercooler? Cantik… Itu lah gunanya pendidikan seni!

Berkait dengan penampilan adalah kasut sukan yang digunakan. Ia datang dengan set yang berbeza iaitu Volk Racing TE37 dengan tayar Toyo Proxes T1R 205/50ZR-16 di bahagian depan serta SSR Type C bersama tayar Bridgestone Ecopia 195/50R-15 untuk belakang.

kenapa begitu? Sebab yang belakang tu untuk golek sampai molek aje. Sistem brek disalin sepenuhnya dari EVO III. Sementara sektor pengendalian kini lebih keras dengan set suspensi boleh laras Cusco Zero2.

Walaupun bertugas sebagai atlet sukan pecut, ia tidak menghilangkan fungsinya sebagai jentera jalanan biasa. Asal tak berdarah telinga, nak bawak pegi Mydin pun boleh.

Kerana itu, hampir kesemua komponen penting masih kekal di posisi asal seperti dashboard, panel pintu, pillar dan tempat duduk belakang.

Sepasang kerusi bucket dari Bride, ditempatkan pada ruang hadapan. Diikuti tambahan stereng separuh lusuh Momo Race, unit RSM Apexi, Speed Meter Pivot, serta dereten meter Defi 6-beradik di bahagian tengah.

Di peringkat awal, kereta ini dibekalkan dengan enjin 4G91 pacuan auto. Disebabkan ia bukan model tempatan, memasukkan enjin lagenda seperti 4G63 EVO III bukan satu masalah.

Sebelum dimasukkan, ia telah melalui proses tingkat taraf yang sepadan seperti penempatan crankshaft 94mm, piston Wiseco 86mm, conrod BC, serta set galas enjin dari King Bearing.

Bahagian kepala silinder menempatkan sepasang camshaft HKS 272° dan sepasang cam pulley boleh laras AEM, sebelum diikat pada blok menggunakan set stud dari ARP.

Penerimaan udara dibawa terus ke mulut turbo Garrett GT35, yang tergantung pada manifold turbo Tonnka, lengkap bersama wastegate dari Tial.

Boost yang terhasil kemudiannya disejukkan oleh intercooler AVS lengkap dengan paip sambungan kustom. Sebaik memasuki throttle body Super90, lebihan boost yang tidak digunakan akan dilepas keluar menerusi injap pelepas Tial, mengikut kadar yang ditetapkan oleh unit pengawal boost GReddy Profec B Spec II.

Bekalan petrol diterima dari pam bahan api Walbro 450. Pancitan ke kebuk pembakaran dilakukan oleh set injektor Bosch 1350cc, sambil dikawal unit regulator Sard.

Bagi merencana kembali perjalanan enjin ini, keseluruhan sistem kini ditala menggunakan unit ECU Haltech Sport 1000.

Selalu ke menang? Adalah sikit-sikit. Nama pun standard body. Bagi Adib, dapat melampias amukan kelajuan dalam diri pun sudah memadai…

BACA: PROTON SATRIA NEO, NOSTALGIA SANG JUARA

BACA: SATRIA GTi MALAYSIAN MUSCLE

BACA: BUKAN PROTON, TAPI INI SUZUKI SATRIA

GALERI

Tags
Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button