MITSUBISHI MOTORS MALAYSIA LANTIK TAKASHI SAKAMAKI SEBAGAI CEO BAHARU
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di negara ini, hari ini mengumumkan pelantikan Takashi Sakamaki sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa serta-merta.
Beliau menggantikan Shinya Ikeda yang telah mengetuai MMM sejak Oktober 2021.
Sakamaki membawa pengalaman lebih dua dekad dalam industri automotif antarabangsa, khususnya dalam bidang strategi perniagaan, eksport serta pembangunan pasaran di negara utama seperti China, Indonesia dan Mexico.
Sepanjang berkhidmat bersama Mitsubishi Corporation (MC), beliau pernah memegang beberapa jawatan kanan termasuk dalam pembangunan perniagaan global, pengurusan eksport kenderaan CBU serta memperluas kerjasama OEM dengan pengeluar automotif lain.
“Adalah suatu penghormatan untuk memimpin Mitsubishi Motors Malaysia pada era yang penuh cabaran dan peluang ini. Dengan warisan jenama yang kukuh di Malaysia serta pasukan kerja berdedikasi, saya yakin MMM akan terus melangkah lebih jauh.
“Matlamat kami kekal sama – menyediakan produk selamat, selesa dan boleh dipercayai, di samping memberikan pengalaman mobiliti yang menyeronokkan kepada pelanggan,” kata Sakamaki.
Sepanjang kepimpinan Ikeda sebelum ini, MMM memperkenalkan generasi keenam Mitsubishi Triton serta versi dipertingkat XPANDER, yang kini menjadi MPV bukan nasional paling laris di Malaysia.
Sejak dilancarkan, lebih 120,000 unit Triton dan 50,000 unit XPANDER telah terjual di pasaran tempatan – bukti penerimaan kukuh jenama Mitsubishi dalam kalangan pengguna Malaysia.








