Buletin

BELI SATU, PERCUMA SATU: PELANGGAN MITSUBISHI DARI IPOH MENANG XFORCE ULTIMATE

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengumumkan Saidahtul Khairunnisa binti Martius, 39, dari Ipoh, Perak sebagai pemenang hadiah utama peraduan “Beli 1 Percuma 1” Mitsubishi Xforce, sekali gus membawa pulang sebuah Mitsubishi Xforce Ultimate baharu.

Peraduan itu diperkenalkan sempena kempen promosi awal yang dijalankan bersama pembukaan tempahan model Mitsubishi Xforce pada Februari 2026.

Sepanjang tempoh kempen, pelanggan yang membuat tempahan menikmati rebat tunai RM5,000 serta tiga kali servis buruh percuma, sekali gus membantu mengurangkan kos penyelenggaraan lima tahun kepada hanya RM3,900.

Selain menikmati tawaran tersebut, pelanggan turut berpeluang menyertai cabutan bertuah untuk memenangi sebuah lagi Mitsubishi Xforce menerusi peraduan khas berkenaan.

Dalam majlis penyampaian hadiah yang diadakan baru-baru ini, Saidahtul diumumkan sebagai pemenang utama.

Nurhidayah binti Mokhtar pula memenangi hadiah kedua berupa sebuah iPhone 17 Pro Max, manakala Choong Ye Siew membawa pulang hadiah ketiga iaitu sebuah iPad Pro.

Menurut Saidahtul, beliau tidak menjangka akan memenangi hadiah utama tersebut kerana pada mulanya hadir ke bilik pameran tanpa mengetahui tujuan sebenar jemputan yang diterimanya.

Katanya, reka bentuk moden Xforce menjadi faktor utama yang menarik minatnya, manakala pengalaman pemanduan yang selesa serta keyakinan ketika berada di jalan raya mengukuhkan lagi pilihannya terhadap model SUV itu.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Mitsubishi Motors Malaysia atas pengalaman yang cukup bermakna ini. Saya berharap dapat mencipta lebih banyak kenangan bersama keluarga menggunakan Xforce baharu ini,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia, Takashi Sakamaki berkata, pihaknya gembira dapat meraikan kemenangan Saidahtul dan berharap hadiah tersebut akan membawa lebih banyak pengalaman serta perjalanan bermakna buat beliau dan keluarganya.

Menurut beliau, Mitsubishi Xforce dibangunkan bukan sekadar sebagai sebuah kenderaan, malah sebagai teman perjalanan yang boleh dipercayai dalam pelbagai detik penting kehidupan pemiliknya.

“Kami berharap setiap pemilik Xforce dapat menikmati pengalaman yang sama dan menghargai setiap perjalanan bersama model ini,” katanya.

Google ads
Back to top button