Buletin

MITSUBISHI XFORCE TAWAR NILAI JUALAN SEMULA TERJAMIN SEHINGGA 60 PERATUS

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) memperkenalkan kempen Nilai Jualan Semula Terjamin (GRV) bagi model Mitsubishi Xforce, yang membolehkan pelanggan memperoleh nilai jualan semula sehingga 60 peratus daripada harga atas jalan (OTR) selepas tempoh pemilikan lima tahun.

Kempen berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Maybank dan Maybank Islamic Berhad itu terhad kepada 200 pelanggan pertama yang memenuhi syarat kelayakan ditetapkan.

Menerusi program tersebut, pelanggan ditawarkan dua pilihan nilai jualan semula bergantung kepada keputusan mereka pada penghujung tahun kelima pemilikan.

Pelanggan boleh menikmati nilai GRV sebanyak 60 peratus sekiranya menjual semula Xforce kepada MMM dan membeli sebuah lagi model Mitsubishi baharu.

Bagaimanapun, kadar GRV standard sebanyak 45 peratus ditawarkan kepada pelanggan yang menjual semula kenderaan itu tanpa membuat pembelian model Mitsubishi lain.

Kedua-dua pilihan tertakluk kepada terma dan syarat kempen, termasuk pematuhan jadual penyelenggaraan, keadaan kenderaan serta had dan keperluan lain yang ditetapkan.

Pelanggan juga tidak diwajibkan untuk menggunakan kemudahan tersebut dan masih mempunyai pilihan untuk terus memiliki atau menjual sendiri kenderaan berkenaan.

Selain jaminan nilai jualan semula, pakej pemilikan Xforce turut merangkumi lima tahun servis upah percuma serta waranti lima tahun tanpa had perbatuan, sekali gus memberikan lebih keyakinan kepada pemilik sepanjang tempoh penggunaan.

Dari aspek pemanduan, Mitsubishi Xforce dilengkapi empat mod pemanduan iaitu Normal, Wet, Gravel dan Mud, selain teknologi Active Yaw Control serta jarak lega bumi 222mm bagi membantu pengendalian dalam pelbagai keadaan jalan.

Model SUV itu turut menawarkan teknologi bantuan pemandu Mitsubishi Motors Safety Sensing yang menyediakan ciri keselamatan aktif dan sistem bantuan pemanduan (ADAS), bergantung kepada varian.

Ruang kabinnya pula direka untuk memenuhi keperluan keluarga menerusi tempat duduk belakang dengan lapan tahap pelarasan sandaran, sistem audio Dynamic Sound Yamaha Premium serta penyaman udara dua zon dengan teknologi nanoe™ X.

Antara kelengkapan lain termasuk pintu but belakang berkuasa dengan fungsi Kick Motion, ruang penyimpanan serba guna dan sambungan telefon pintar bagi memudahkan urusan harian.

Dari segi sokongan selepas jualan, MMM mempunyai rangkaian 60 pusat servis sah di seluruh negara yang menyediakan khidmat juruteknik terlatih, alat ganti tulen serta penyelenggaraan kenderaan.

Gabungan jaminan nilai jualan semula, perlindungan waranti dan kemudahan servis itu dilihat sebagai usaha Mitsubishi untuk menawarkan kos pemilikan yang lebih terancang kepada pelanggan.

Kempen GRV Mitsubishi Xforce hanya terbuka kepada 200 pelanggan pertama yang mendapatkan pembiayaan menerusi Maybank atau Maybank Islamic Berhad.

Orang ramai boleh mengunjungi bilik pameran sah Mitsubishi Motors berdekatan atau menghubungi perunding jualan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kelayakan dan syarat penyertaan kempen.

Google ads
Back to top button