
MITSUBISHI OUTLANDER 2022 DILANCARKAN SECARA RASMI. HARGA BERMULA RM104,167
Mitsubishi Outlander baharu dilancarkan secara rasmi melalui platform penstriman Amazon Live dengan mengetengahkan konsep produk ‘I-Fu-Do-Do’ yang membawa maksud ketulenan dan kemegahan dalam bahasa Jepun.
Jentera terbaharu itu dibangunkan berdasarkan platform Nissan Rogue bakal memasuki pasaran Amerika Syarikat (AS) pada bulan April nanti.
Di pasaran negara terbabit, Mitsubishi Outlander 2022 ditawarkan pada harga bermula dari AS$25,795 (RM104,167) dengan pilihan lapan warna menarik.

Ia dijangka akan memberi saingan sengit kepada model Nissan Rogue, Toyota RAV4 dan Honda CR-V.
Bahkan, Mitsubishi Outlander itu didatangkan dengan dimensi yang lebih berbanding model terdahulu dalam memberi keselesaan kepada pemandu dan penumpang.
Didatangkan dengan ukuran panjang 4,790 mm, lebar 1,862 mm dan ketinggian 1,748 mm manakala jarak antara roda pula dipanjangkan kepada 2,705 mm.

Panjang ruang kargo pula menyaksikan penambahan kepada 2,040 mm berbanding 1,687 mm model terdahulu.
Dari segi rekaan, ia merupakan model pertama menampilkan interpretasi baharu Dynamic Front Shield yang diinspirasikan daripada dua model Mitsubishi pilihan ramai iaitu Pajero dan Evolution X.
Melihat di bahagian hadapan, barisan lampu tersusun kemas terdiri daripada lampu nyalaan siang LED di bahagian atas, lampu suluhan rendah dan tinggi di bahagian tengah serta lampu kabus di bahagian bawah.

Lampu bahagian belakang pula menampilkan rekaan moden dan terkini dalam menterjemahkan sisi sporty jentera terbaharu itu manakala rekaan bahagian sisi tidak banyak beza berbanding Rogue.
Ruang dalaman, Mitsubishi Outlander masih lagi kenderaan di dalam segmennya menawarkan konfigurasi tiga baris tempat duduk sebagai standard malah didatangkan kemasan kulit dan bahan berkualiti tinggi.
Ia turut dilengkapi dua skrin utama pada bahagian papan pemuka dengan skrin kluster instrumen berukuran 12.3 inci dan skrin tengah bersaiz 9.0 inci.

Antara ciri-ciri lain yang menarik termasuk butang kawalan untuk HVAC, 11 beg udara, slot pengecasan USB-A dan USB-C.
Selain itu, ia menawarkan kawalan jelajah adaptif, bantuan kekal laluan, sistem navigasi, ciri paparan Head-Up, dan sistem audio Bose dengan 10 pembesar suara.
Mitsubishi Outlander mendapat khidmat enjin 2.5 liter PR25DD yang mampu menjana kuasa181 hp dan tork 245 Nm dipadankan transmisi CVT lapan kelajuan.

Jentera terbaharu itu menawarkan enam mod pemanduan iaitu Normal, Eco, Tarmac, Gravel, Snow, dan Mud.
SUV kompak terbaharu itu bukan hanya penting kepada pengeluar Mitsubishi tetapi bagi rakan sekutu Nissan yang memiliki pegangan saham sebanyak 34 peratus dalam syarikat terbabit.
Ia berikutan pada tahun 2020 penjualan menguncup sebanyak 27 peratus berbanding tahun sebelumnya di pasaran Amerika Utara. – carscoops