MITSUBISHI TIDAK BOLEH HIDUP TANPA NISSAN
Bulan lalu, timbul khabar angin yang mendakwa Nissan mahu menjual 34 peratus sahamnya di dalam Mitsubishi. Perkara itu kemudian dinafikan oleh kedua-dua pengeluar kenderaan Jepun tersebut.
Ketika Nissan sedang berusaha memulihkan kewangannya, Mitsubishi turut melakukan perkara sama dengan meninggalkan beberapa pasaran utama seperti Eropah. Namun, apa yang pasti Mitsubishi tidak boleh hidup tanpa Nissan. Malah, kedua-dua syarikat itu menjalin hubungan yang lebih rapat.
Automotive News melaporkan bahawa Mitsubishi North America merancang untuk memindahkan ibu pejabatnya dari Selatan California ke Franklin, Tennessee agar lebih dekat dengan HQ Nissan.
Dengan perpindahan itu, mereka boleh bekerjasama lebih mudah dan menyelesaikan apa jua masalah berkaitan produk.
Sebagai contoh, Mitsubishi Outlander serba baharu akan dibina di atas platform Nissan Rouge (X-Trail) dalam tempoh beberapa bulan lagi.
Outlander bakal tampil dengan rekaan baharu luar dalam, tetapi asasnya ialah kerangka Nissan. Ia merupakan model paling laris Mitsubishi di Amerika Syarikat (AS).
Untuk pasaran luar AS, Ketua Pegawai Eksekutif Nissan, Makoto Uchida memberitahu kedua-dua syarikat berusaha keras untuk menggabungkan kekuatan masing-masing, melangkaui kolaborasi penghasilan kereta kecil, EV dan sebagainya.
“Buat masa sekarang, tidak banyak yang dibincangkan. Kami kata begini – Mitsubishi perlu membuat perancangan sendiri untuk pasaran AS. Jika mereka perlukan bantuan, sudah tentu Nissan akan bantu. Setiap jenama mesti bangunkan strategi sendiri dahulu. Itu yang penting,” kata Uchida.
Mitsubishi menyertai pakatan Renault-Nissan empat tahun lalu. Ketika itu, ia berada dalam keadaan sukar dan kini semuanya kelihatan lebih baik.
Selain Outlander, Mitsubishi ada menyentuh tentang beberapa model baharu. Misalnya, Eclipse Cross akan menerima penambahbaikan tahun depan.
Sementara Mirage hatchback dan sedan yang menjadi model paling murah Mitsubishi akan terus dijual. Jentera itu disasarkan untuk pelanggan yang hanya mahukan sebuah kenderaan asas.
- BACA: BERAPA KOS SERVIS MITSUBISHI XPANDER? MAHAL KE MURAH?
- BACA: MITSUBISHI DIPILIH SEBAGAI KONTRAKTOR UTAMA BANGUNKAN PESAWAT PEJUANG F-X
- BACA: REV ENJIN SAMPAI EKZOS BERAPI, NISSAN GT-R INI AKHIRNYA TERBAKAR. NASIB BAIK RAMAI TOLONG PADAMKAN API
- BACA: PANDU UJI RINGKAS NISSAN ALMERA VLT. JAUH BERBEZA DENGAN ALMERA LAMA