Buletin

MITSUBISHI OUTLANDER PHEV DI INDONESIA – RM353K HARGA ANGGARAN

Mitsubishi Outlander yang boleh didapati dari bilik pameran Mitsubishi Motors Malaysia sebenarnya mempunyai satu lagi kembar yang tidak dibawa ke sini.

Kembar yang dimaksudkan ialah Outlander PHEV (plug-in hybrid electric) yang dilancarkan di peringkat global pada tahun 2013.

Model ini telah dilancarkan di lebih 50 buah negara dan nampaknya bakal menjengah negara jiran, Indonesia pada 18 Julai 2019.

Penawaran tersebut adalah yang pertama seumpanya untuk sebuah model PHEV Mitsubishi di rantau ASEAN.

Outlander PHEV bukan sebarang model kerana ia adalah PHEV terlaris dunia dan terlaris di Eropah dalam tempoh empat tahun berturut-turut dari 2015 hingga 2018. Jualan Outlander PHEV sudah pun melebihi 200,000 unit.

Outlander PHEV adalah SUV canggih hasil daripada pengetahuan dan pengalaman berpuluh tahun Mitsubishi di dalam segmen jip dan SUV.

Outlander PHEV mewakili berpuluh tahun pencapaian Mitsubishi di dalam teknologi 4WD pada tahun 1936, SUV yang rugged pada era 80an dan satu lagi perkara menarik ialah bidang nadi kuasa elektrik pada tahun 1966.

Di sebalik riuh rendah model sedan popular Lancer dan Evolution, Mitsubishi mempunyai deposit tetap yang kini sudah menyerlahkan taringnya.

Malah Mitsubishi pada hari ini lebih dikenali sebagai pengeluar SUV dan pikap berbanding sedan atau kereta berprestasi seperti satu masa dahulu.

Sebagai sebuah PHEV, Outlander ini dikuasakan oleh enjin petrol 2.4 liter yang digabungkan bersama motor elektrik dan bateri.

Kecanggihan Outlander PHEV ialah pada motor elektrik yang terletak pada roda depan dan belakang, tanpa memerlukan kotak gear.

Memandangkan terdapat dua motor depan dan belakang bermakna Outlander PHEV boleh dipacu dengan keempat-empat roda (4WD) yang merupakan identiti terkenal kenderaan Mitsubishi.

Kuasa bateri pula dibekalkan daripada dua punca sama ada enjin, elektrik domestik (plug) atau kuasa regeneratif.

Satu lagi ciri canggih pada SUV ini ialah kemampuan untuk menyimpan tenaga elektrik dan membekalkan pula untuk kegunaan di rumah.

Berapakah pula kos untuk memiliki Mitsubishi Outlander PHEV?

PT Mitsubishi Motors Krama Yudha Sales Indonesia (MMKSI) belum mendedahkan harga rasmi kecuali makluman indikatif iaitu sekitar IDR 12,000,000,00 (RM353,034) hingga IDR 13,000,000,00 (RM382,453).

Mitsubishi Outlander PHEV Tokyo Auto Salon

Satu jumlah yang tinggi untuk sebuah kereta mesra alam. Untuk membolehkan kereta dengan teknologi baharu seperti ini diterima ramai tidak dapat tidak insentif percukaian diperlukan.

Tambahan pula kereta PHEV tidak memerlukan subsidi petrol sebesar kereta dengan teknologi konvensional.

Sebagai perbandingan harga Outlander PHEV di Amerika Syarikat bermula dari USD35,795 (RM147,224) dan di United Kingdom pula dari GBP36,755 (RM190,054).

Tags
Google ads
Back to top button