Buletin

KIA SORENTO PHEV TORK 350 NM! (TORK ITU PENTING)

Kebelakangan ini di media sosial heboh berbicara mengenai sedan segmen B yang mempunyai tork (daya kilas) tinggi melebihi pesaing dan segmen lebih atas.

Kuasa tinggi tersebut sebenarnya disumbangkan oleh motor elektrik. Adalah satu kebiasaan untuk kereta elektrifikasi mempunyai tork tinggi dan pecutan serta merta. 

Tork tinggi turut boleh didapati dari motosikal yang dikuasai motor elektrik.

Ini pula sebuah SUV baharu dengan tork tinggi, Kia Sorento Plug-in Hybrid (PHEV) yang turut mengeluarkan emisi ultra rendah (ultra-low).

Sorento merupakan SUV saiz besar dan berada di dalam segmen D.

Satu perkara menarik apabila Sorento Plug-in Hybrid adalah varian elektrifikasi Sorento kedua selepas Sorento Hybrid. 

Maknanya Kia memasarkan dua Sorento, satu menggunakan nadi hibrid dan satu lagi jenis hibrid yang boleh dicas menggunakan plug elektrik.

Rangkaian kuasa (powertrain) Sorento Plug-in Hybrid memang hebat, kombinasi enjin petrol turbo, pek bateri kapasiti tinggi dan motor elektrik output tinggi.

Sorento Plug-in Hybrid bukan sahaja varian Sorento dengan emisi paling rendah di Eropah tetapi juga paling berkuasa.

Rangkaian kuasa yang digunakan terdiri dari enjin 1.6 liter T-GDi (Turbocharged Gasoline Direct injection) dan di situ sahaja mempunyai kuasa sehingga 180ps dan tork 265Nm.

Untuk sebuah SUV besar ia hanya memadai dan dipadan bersama pek bateri lithium-ion polimer dengan motor elektrik kuasa tinggi yang mempunyai output 66.9kW dan tork 304Nm.

Apabila digabungkan, rangkaian kuasa Sorento Plug-in Hybrid mempunyai kuasa sehingga 265ps dan tork 350Nm!

Kuasa enjin dihantar kepada kesemua roda melalui transmisi enam kelajuan automatik. Transmisi itu membolehkan kuasa penuh enjin dan motor dihantar secara serentak dengan kehilangan tenaga yang minimum.

Hasilnya ialah respon pecutan serta-merta dan akses terus kepada kuasa bateri yang ada pada kelajuan lebih tinggi.

Tetapan tersebut penting supaya angka yang tinggi tidak hanya tinggal di atas kertas tetapi boleh digunakan ketika pemanduan.

Selain itu, enjin Sorento menggunakan inovasi Smarstream terkini termasuk teknologi Continuously Variable Valve Duration yang mengatur tempoh bukaan dan penutupan injap kemasukan (intake valve) bergantung kepada keadaan pemanduan.

Ini membolehkan enjin beroperasi di dalam kitaran pembakaran (combustion) berbeza seterusnya mengoptimumkan prestasi enjin dan kecekapan bahan api.

Kia Sorento Plug-in Hybrid pasaran Eropah dan beberapa pasaran lain dipasang di kilang Kia di Hwasung, Korea dengan jualan bermula pada awal tahun 2021 di pasaran terpilih.

Adakah Sorento dengan kuasa tinggi ini bakal memasuki pasaran tempatan? Berdasarkan model sebelum ini, kesemua tiga generasi ditawarkan dan masih terlalu awal untuk mengesahkan kemasukan varian PHEV.

BACA: INILAH KIA SONET SEBENAR, DARI INDIA KE DUNIA!

BACA: KIA K5 UNTUK AS, MENGANCAM TAK? ADA ENJIN TURBO DAN AWD

BACA: D4HA – ENJIN HEBAT DARI REVOLUSI HYUNDAI & KIA

Google ads
Back to top button