Buletin

MODEL TERPILIH CHERY, OMODA JAECOO DAN ICAUR DATANG DENGAN TAG RFID

Chery Corporate Malaysia memeterai perjanjian kerjasama strategik bersama Touch ’n Go bagi memperkukuh ekosistem mobiliti digital negara, sekali gus memperkenalkan pengalaman pemanduan lebih lancar kepada pengguna.

Melalui kerjasama tersebut, tag RFID berjenama akan ditawarkan sebagai pakej tambahan bagi model terpilih Chery, Omoda Jaecoo dan iCAUR yang dijual di seluruh negara.

Inisiatif ini membolehkan pelanggan menikmati kemudahan tol tanpa henti sebaik sahaja kenderaan diserahkan, tanpa perlu memasang RFID secara berasingan.

Chery Corporate Malaysia yang menguruskan jenama Chery, Omoda Jaecoo dan iCAUR terus memperkukuh kedudukannya dalam pasaran tempatan.

Sejak 2023, jenama Chery mencatat penghantaran lebih 30,000 kenderaan melalui rangkaian hampir 60 pusat jualan dan selepas jualan di seluruh Malaysia.

Sementara itu, Omoda Jaecoo pula merekodkan 17,849 unit jualan sepanjang 2025, meningkat lebih 150 peratus berbanding tahun sebelumnya, mencerminkan keyakinan pengguna terhadap teknologi dan produk kumpulan itu.

Menurut Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Men Lin Bo, integrasi RFID ketika pembelian kenderaan adalah sebahagian daripada usaha syarikat mempertingkat pengalaman pemilikan yang lebih pintar dan praktikal.

Beliau berkata, langkah itu memberi akses segera kepada infrastruktur tol digital negara serta menyokong visi mobiliti digital kerajaan.

Dalam masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif Touch ’n Go Group, Praba Sangarajoo, menyifatkan kerjasama tersebut sebagai langkah proaktif industri automotif dalam memperluas penggunaan RFID sejak hari pertama pemilikan kenderaan.

Menurutnya, RFID bukan sekadar sistem pembayaran, malah menjadi komponen penting dalam pembangunan mobiliti masa depan Malaysia.

RFID yang ditawarkan direka untuk serasi dengan sistem tol masa hadapan termasuk Single Lane Fast Flow (SLFF) dan Multi-Lane Fast Flow (MLFF), menjadikannya penyelesaian berskala yang menyokong evolusi penggunaan lebuh raya negara.

Selain itu, kedua-dua pihak turut merancang kempen pemasaran bersama bagi meningkatkan kesedaran dan penggunaan RFID dalam kalangan pengguna.

Kerjasama ini dijangka menghubungkan inovasi automotif dengan infrastruktur digital, sekali gus menyediakan pengalaman pemanduan yang lebih cekap, terhubung dan bersedia untuk masa depan.

Google ads
Back to top button